Destinasi berikutnya kami ke kampung Lembising Putatan, menemui 15 penerima yang telah diusahakan oleh Cikgu Hasmawati dan ayahnya Pakcik Beddu sekaligus penyampaian dilakukan di rumah mereka. Majlis ringkas didahului dengan ceramah singkat berkaitan kesihatan yang disampaikan oleh Dr Kartina yang turut menyertai rombongan kami. Beliau mengingatkan tentang penjagaan kebersihan, kaedah pengambilan dan pemilihan makanan yang sihat.

Mewakili rombongan kami, Ustaz Ariff Yussof menyerahkan sumbangan dan menyampaikan sedikit ucapan penutupan kepada semua yang hadir, agar terus menggiatkan ibadah masing-masing kerana Ramadhan sudah berada di pertengahannya. Kami mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Pakcik Beddu sekeluarga yang bersusah payah mencari penerima yang layak serta sudi menjadi tuan rumah pula, begitu juga kepada para penyumbang. Semoga Allah menerima amalan kita semua.