Foto ihsan FB Pejabat Kesihatan Kawasan Penampang. Terima kasih.

Rasanya puas hati juga dapat berprogram bersama Persatuan Kebajikan Kakitangan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) Pejabat Kesihatan Kawasan Penampang dalam majlis berbuka puasa dan solat tarawih di Klinik Kesihatan Putatan malam minggu lalu. Selain majlis berbuka puasa dan solat berjamaah, saya kira mengisi slot tazkirah 3+1 kali telah memberi ruang saya meluahkan beberapa perkara.

Slot pertama, selesai majlis bacaan yasin saya mengisi tazkirah pertama sehingga azan maghrib berkumandang. Sesi ini saya pertotonkan video klip tarawih tahun lalu di Iskandariah Mesir dan kemudian menyampaikan tazkirah berkenaan kesilapan-kesilapan orang yang berpuasa. Selesai solat maghrib, berlangsung slot tazkirah tidak rasmi (memenuhi ruang kosong sebelum waktu isyak), saya ceritakan tentang kehebatan-kehebatan para ulama silam terutama imam mazhab yang empat. Tujuan kisah itu disampaikan agar umat Islam mengasihi para ulama dan tidak memperlekeh mereka sebagaimana sikap sebahagian kecil umat ini.

Saya dipohon mengimamkan solat tarawih. Dua kali tazkirah selepas solat empat rakaat dan lapan rakaat sebagaimana mereka minta. Saya isikan dengan menceritakan sejarah dan takrif solat tarawih agar mereka memahami hakikat solat tarawih dan bagaimana para ulama nusantara mengaplikasikan slot solawat antara dua-dua rakaat. Tazkirah terakhir ialah berkenaan harapan saya kepada mereka yang berada dalam dunia perubatan seperti para doktor, jururawat dan ahli farmasi. Oleh kerana kebiasaan masyarakat sangat menghormati dan mempercayai mereka, justeru mereka sendiri hendaklah mengambil peluang untuk menerapkan nasihat-nasihat agama kepada pesakit.

Nasihat berkaitan aqidah, syariat dan akhlak sepatutnya menjadi kewajiban mereka kepada pesakit. Contohnya nasihat agar berdoa kepada Allah, jangan tinggal solat, menutup aurat, Allah yang menyembuhkan penyakit bukan doktor, tidak berputus asa daripada rahmat Allah, dan pelbagai nasihat berbentuk keagamaan sepatutnya menjadi zikir wajib kepada pesakit yang datang kepada mereka. Terima kasih atas peluang yang diberikan, semoga dapat bertemu lagi. Saya gembira bersama mereka.