Archive for 13 Ogos 2011


Pagi ini, kami berziarah ke kelas saudara kita Teratak Fitrah di Madrasah Islamiah Sembulan sebuah kelas pengajian untuk saudara kita yang telah beroperasi sejak 7-8 tahun lalu. Barangkali sudah beratus peserta sudah menamatkan pengajian di sini bermula dengan asas bersuci, solat dan belajar membaca al-Quran sehingga berkaitan ilmu-ilmu aqidah, syariat dan akhlak dengan bimbingan tenaga pengajar yang bertugas secara sukarela.

Saya gembira dapat berziarah walaupun saya bukanlah asing dengan rakan-rakan di sini terutama AJK persatuan mereka yang dinamakan Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita Kota Kinabalu (SAHABAT), justeru saya ada mengingatkan rakan-rakan terutama dalam Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah dan rakan-rakan NGO Islam yang lain agar menyampaikan sedikit sumbangan beras kepada para muallaf terutama yang didapati hidup susah dan melarat.

Saya diminta menyampaikan sedikit tazkirah sekitar 15 minit dan kemudian kami menyerahkan sumbangan kepada 20 peserta terpilih, dengan janji saya untuk menambah lagi sumbangan berkenaan, sedayanya dalam tempoh ramadhan ini juga. Sebak melihat makcik-makcik yang sangat gembira menerima sumbangan ini, walaupun cuma sekitar 5kg seorang. Sebenarnya kami hanya memanjangkan sumbangan umat Islam sekitar Kota Kinabalu untuk mereka yang memerlukan mengikut kuantiti yang kami perolehi sebagai penyelaras sahaja.

Untuk rekod, pada hari ini saja kami sudah mengagihkan ratusan kampit beras di beberapa lokasi, antaranya Masjid Kg Sembulan, guru-guru PASTI Kota Kinabalu, mangsa kebakaran di Pulau Banggi, serta lokasi terpilih di Kota Belud, Sepanggar, Ranau dan Kota Marudu melalui wakil-wakil dan sahabat yang berkunjung ke sana. Insya Allah, lokasi lain akan menyusul berdasarkan sumbangan yang kami terima.

“Bacalah al-Quran, sesungguhnya al-Quran itu akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada orang yang membacanya”.

“Orang yang mahir dengan al-Quran bersama para malaikat yang mulia. Orang yang tidak mahir, membaca dengan bersusah payah akan mendapat dua pahala”

“Sesiapa yang membaca satu huruf al-Quran dia mendapat satu kebaikan. Satu kebaikan diganda 10 kali. Aku tidak katakan alif lam mim satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf”.

%d bloggers like this: