Pustaka Aslam, sebuah premis menjual buku-buku khususnya tajuk ugama yang sebelum ini beroperasi di Kingfisher Likas, kini sudah berpindah operasi ke Bazar al-Mubarak, Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di Likas. Khabarnya mereka berpindah sejak tiga minggu lalu setelah mendapat tawaran untuk memulakan operasi di salah satu lot Bazar al-Mubarak, sederet bangunan yang diusahakan bersama SEDCO untuk membangunkan ekonomi ummah sekaligus mengimarahkan masjid dan persekitarannya.

Kalau tidak salah, bangunan Bazaar al-Mubarak memuatkan enam lot niaga dengan di tengah-tengahnya dibina khusus untuk restoran. Saya dimaklumkan sambutan baik jamaah masjid khususnya hari jumaat dan hari-hari lain juga sejak Bazaar ini memulakan operasinya pada awal Julai lalu. Untuk Pustaka Aslam, meski ia lebih kecil berbanding lokasi terdahulu, ia nampak lebih padat dengan buku-buku terbitan pelbagai syarikat, seperti PTS, Telaga Biru, Hidayah Publisher, dan lain-lain.

Sejak awal lagi saya menyokong kehadiran Pustaka Aslam dalam arena penjualan buku-buku khususnya berorientasikan agama dan dakwah. Meskipun sudah terdapat banyak premis-premis buku agama di sekitar Kota Kinabalu, saya yakin masing-masing boleh bersaing secara sihat dan berlumba-lumba untuk kebaikan dan dakwah Islamiyyah. Saya juga maklum Pustaka Aslam sebagai antara pengedar utama terbitan Telaga Biru di Sabah khususnya majalah Solusi yang semakin mendapat tempat di masyarakat Sabah.

Saya mendoakan kejayaan Pustaka Aslam dan dalam masa yang sama agar ia terus berkembang, membuka cawangan di lokasi lain satu masa nanti sebagaimana nama Farmasi Aslam yang mempunyai cawangan-cawangannya sekitar Kota Kinabalu, Putatan dan Tuaran, serta meluaskan lagi kegiatan niaganya dengan menjadi penerbit buku-buku pula selepas ini. Insya Allah, nama ‘Aslam’ akan semakin dominan dengan urus niaga berdasarkan Islam selepas ini di bumi Sabah.

Kunjungi Pustaka Aslam, waktu urus niaga antara 9 pagi hingga 6 petang setiap isnin hingga sabtu.