Khatib : Ustaz Sofi Ibrahim al-Hafiz

Lokasi : Masjid Nurul Hidayah Kg Bangka-Bangka Likas

Bagi memperolehi ganjaran pahala yang ditawarkan dalam bulan Ramadhan maka jiwa kita hendaklah diasuh dan diasah untuk mendekati dengan Allah SWT serta bermujahadah melawan hawa nafsu. Pada bulan Ramadhan tugas untuk mengawal hawa nafsu dipermudahkan oleh Allah SWT melalui latihan-latihan dan keistimewaan yang di sediakan secara khusus antaranya ialah kewajipan ibadat puasa.

Ibadat puasa yang dilakukan dengan sempurna mampu mengawal segala kemaksiatan dunia dan dapat mendidik jiwa menjadi lebih tenang dan membentuk diri menjadi seorang hamba yang bertakwa kepada Allah SWT.

Takwa adalah buah dan hasil yang diharapkan  dari amalan puasa. Buah tersebut akan menjadi bekalan orang beriman dan menjadi perisai agar diri manusia tidak terjebak dalam jurang maksiat dan kejahatan. Bagi orang yang bertakwa kepada Allah SWT  ia akan melaksanakan ajaran Islam secara menyeluruh. Dia tidak akan melihat, mendengar, mengucapkan dan melakukan perkara yang diharamkan. Dia hanya melakukan sesuatu yang dituntut dan  diperbolehkan Allah SWT. Dia hanya berada di tempat yang mendatangkan keredhaan Allah SWT dan menjauhi tempat yang mendatangkan kemurkaan-Nya.

Ketika berpuasa kita bukan sahaja menahan diri dari keinginan makan dan minum malah seluruh anggota badan kita seperti mulut, mata, hati dan kemaluan juga hendaklah turut berpuasa. Kita juga dituntut memperbanyakkan amal ibadah yang lain dengan mengisi ruang-ruang  yang ada seperti bersolat taraweh, bertadarus, bersedekah, membaca al-Quran, beriktikaf, menuntut ilmu dan sebagainya bagi meningkatkan keimanan  dan ketakwaan kepada Allah SWT didalam usaha mencari keredhaan-Nya. Ingatlah bahawa amalan wajib dan sunat di sepanjang bulan ini merupakan latih tubi insan kepada pembersihan hati, mendisiplin anggota badan, mengukuhkan akhlak dan mencegah penyakit.