Idea mewujudkan facebook grup Huffaz Sabah (para penghafaz al-Quran) sudah lama dalam kepala saya. Ia langkah dan proses awal untuk mengadakan reunion golongan Huffaz Sabah satu masa nanti. Para penghafaz al-Quran Sabah melalui beberapa fasa penting. Pertamanya secara rasmi orang Sabah menghafaz al-Quran 30 juzu’ bermula pada akhir 1960an dimulakan oleh (Ybhg Datuk) Ustaz Haji Abdul Ghaffar Rijim dan Ustaz Haji Salleh Yakob yang dihantar belajar ke tanah Semenanjung, diikuti oleh generasi-generasi berikutnya.

Fasa kedua, saya anggap bermula pada pertengahan 1990an, atau tepatnya pada 1995 apabila Majlis Ugama Islam Sabah mewujudkan Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat Negeri Sabah (MTQQNS) dengan pengambilan pertamanya hanya seramai lapan orang pelajar berumur 16 tahun (lepasan PMR)  pada jun tahun berkenaan dan kuliahnya beroperasi di Masjid Negeri Sabah. Dalam masa yang sama, proses penghantaran pelajar Sabah ke Institut Pengajian Tahfiz al-Quran (IPTQ) Jabatan Perdana Menteri atau kini dikenali sebagai Darul Quran JAKIM diteruskan sehingga kini.

Selain dua institusi berkenaan, terdapat juga beberapa institusi tahfiz persendirian dan swasta di Sabah pada peringkat awal. Antaranya ialah di Inabah Kamal Semporna di bawah Ybhg Tun Sakaran Dandai dan Madrasah Tahfiz di Bingkul Beaufort di bawah kendalian Jamaah Tabligh. Maahad Tahfiz di Inabah Kamal khabarnya kini sudah tiada berikutan beberapa masalah yang dihadapi.

Beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa institusi dan kelas tahfiz diwujudkan atas inisiatif pelbagai pihak. Antaranya di Bandar Sandakan, Masjid Bandar Kota Kinabalu, Kg Tanjung Aru Kota Kinabalu, Pekan Sipitang, Kg Kelansanan Inanam, dan yang terkini Sekolah Sri al-Hafidz Bandar Seirra Kota Kinabalu. Institusi-institusi ini secara umumnya mengadakan pengajian tahfiz dengan pelbagai kaedah dan silibus pengajian masing-masing dan pendekatan umur  berbeza.

Ada yang bermula seawal umur sekolah rendah, sekolah menengah atau lepasan SPM. Ada yang menekankan hanya hafazan al-Quran dan ilmu tajwid sahaja, sementara ada yang mengambil semua silibus pendidikan sekolah rendah agama JHEAINS, pendidikan akademik KBSR selain pengajian hafazan al-Quran yang menjadi teras mereka seperti di Sekolah Rendah Sri al-Hafidz. Sementara sistem MTQQNS dan Darul Quran JAKIM membuat pengambilan lepasan SPM dengan syarat tertentu dengan mendapat sijil diploma tahfiz selepas 3 tahun pengajian.

Menurut kajian rambang saya, terdapat juga anak-anak Sabah yang mendalami pengajian tahfiz di negeri-negeri lain dengan inisiatif ibu bapa masing-masing seperti di Perak, Kedah, Selangor dan lain-lain kerana kewujudan lambakan sekolah tahfiz di bumi Semenanjung yang agak banyak dan ibu bapa mempunyai pilihan tersendiri. Kewujudan suasana ini sudah tentu memberi kelebihan yang sangat baik kepada perkembangan dakwah Islam khususnya pengajian tahfiz al-Quran kepada semua pihak baik kepada negeri Sabah dan Malaysia keseluruhannya.

Sekiranya hanya bergantung kepada MTQQNS dan Darul Quran sahaja, saya menjangkakan lepasan pelajar dari kedua-dua institusi ini hanyalah sekitar 100 lebih sedikit sahaja. Tetapi saya meyakini bahawa sebenarnya lambakan anak-anak Sabah yang telah menghafaz al-Quran memang berlaku – barangkali jumlahnya di luar jangkaan kita semua.

Saya mengalu-alukan kehadiran para huffaz al-Quran dengan terma-terma berikut, untuk menyertai grup Facebook Huffaz Sabah dengan hasrat sebagaimana yang dinyatakan di bawah :

1) alumni maahad tahfiz al-quran wal-qiraat negeri Sabah;
2) para huffaz yang pernah belajar di mana-mana institusi tahfiz di Sabah;
3) para huffaz sabahan yang pernah belajar di luar Sabah;
4) para huffaz bukan sabahan tetapi kini berkhidmat dan berjuang di Sabah.

dengan matlamat :

1) berkongsi maklumat yang berkaitan dengan perkembangan tahfiz al-quran dan institusinya di Sabah;
2) berkongsi maklumat berkaitan dengan ilmu dakwah dan al-quranul karim;
3) memberi idea dan apa saja yang baik demi kesatuan huffaz di Sabah.

Kepada YANG BERKENAAN, jika punya facebook, sila cari HUFFAZ SABAH dan sila kenalkan diri. Semoga niat baik ini akan dapat menyatukan hati-hati para huffaz al-Quran walaupun kita duduk dan tinggal berjauhan, bertukar-tukar fikiran dalam perkara yang baik dan tentang dunia dakwah dan al-Quran. Siiru ‘ala barakatillah.