Archive for 9 Ogos 2011


Pemergiannnya pagi ini amat mengejutkan kami.

Kepada peribadi saya sendiri, ada sesuatu yang amat saya sesalkan. Saya dimaklumkan berita beliau masuk ke ICU Hospital Queen Elizabeth KK ketika saya di dalam bas dari KLIA menuju ke Port Dickson. Justeru kesibukan hal dunia setelah pulang ke Kota Kinabalu dan gagal menziarahi beliau sepanjang awal Ramadhan saya sesali sendiri.

Ada satu hari, saya berhajat berziarah tapi dimaklumkan beliau sudah dipindahkan ke Hospital Papar. Hati saya lega kerana berpendapat situasi itu menunjukkan beliau semakin pulih, berehat menanti masa untuk pulang. Nampaknya beliau benar-benar pulang sekitar 11 pagi, pulang ke sisi Tuhannya yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Saya mengetahui setengah jam kemudian dan hanya berziarah jam 2 petang, sesudah janazahnya selesai dikebumikan di Taman Perkuburan Kg Kelanahan Papar dengan (khabarnya) kehadiran ramai umat Islam di kalangan penduduk kampung, warga JHEAINS, dan anak-anak muridnya.

Allahyarham Ustaz Haji Shahrin Haji Imran dilahirkan pada 21 Februari 1959 di Kampung Kelanahan Papar (meninggal dalam usia 52 tahun). Isteri pertamanya almarhumah Ustazah Habibah Jaafar telah meninggal dunia beberapa tahun lalu dan kemudian beliau berkahwin kali kedua dengan Ustazah Hajjah Rosnah Ali pada Mac 2007. Perkahwinan dengan Ustazah Habibah dikurniakan dengan dua cahayamata, dan salah seorangnya (yang sulung) kini melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar Mesir.

PENDIDIKAN DAN KERJAYA

Allahyarham mendapat pendidikan awal di SK Pekan Papar (1967-1972), SMK Majakir Papar (1973-1975) dan SMA Toh Puan Hajjah Rahmah (1981-1983). Seterusnya beliau melanjutkan pengajian di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat, Jabatan Perdana Menteri KL pada tahun 1983-1985. Menurut rekod yang saya ada, Allahyarham Ustaz Shahrin adalah orang Sabah yang kelima mengikuti pengajian tahfiz al-Quran selepas Datuk Haji Abdul Ghafar Rijim, Ustaz Salleh Yakub, Datuk Haji Mokhtar Rapok dan Datuk Haji Asmali Bachi.

Saya mendapat maklumat bahawa Allahyarham mempunyai minat yang tinggi dalam pengajian tahfiz al-Quran. Buktinya beliau sanggup meninggalkan pengajian di SMA Toh Puan Hajjah Rahmah untuk menerima tawaran di Kuala Lumpur. Beliau juga menyedari bahawa ketika itu Sabah sangat ketinggalan dari segi bilangan penghafaz al-Quran. Penyertaannya ke dalam dunia tahfiz dengan niat untuk mengembangkan pengajian tahfiz di Sabah. Antara gurunya ketika menuntut dahulu ialah UStaz Haji Zaharudin Haji Ahmad, Ustaz Kamarudin Haji Amri, Dato’ Haji Salehuddin Omar dan Dato’ Hassan Mahmud.

Sekembali dari pengajian tahfiz, Ustaz memulakan kerjaya sebagai tenaga pendidik di SUI Pengalat Kecil (1986-1989), guru besar di SUI Kg Bambangan Papar (1989-1990), dan kemudian ke SMU Islamiyyah Papar (1990-1999). Pada tahun 1999, beliau memberi khidmat sebagai pensyarah di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah sehingga akhir hayatnya hari ini (12 tahun di MTQQNS).

Menurut perbualan masa ke masa, beliau bersyukur kerana aktiviti pendidikan keagamaan semakin berkembang di seluruh Sabah, khususnya lahirnya ramai para huffaz dan ilmuan Islam di negeri ini. Begitu juga kesedaran dan kecenderungan ibu bapa semakin meningkat. Dalam masa yang sama, kebimbangan beliau terhadap kejahilan masyarakat juga tidak dapat dinafikan, termasuk berlakunya penyakit sosial membabitkan umat Islam sangat berleluasa.

NASIHAT

Antara nasihat beliau ialah, harapan beliau agar ibu bapa mengambil usaha bersungguh-sungguh mengukuhkan pendidikan agama Islam kepada anak-anak menghadapi gelombang dan arus penyakit sosial. Katanya, pergaulan anak-anak di luar rumah hendaklah dipantau untuk kebaikan bersama. Antara perkara yang ditekankan ialah menjaga solat dan pengajian al-Quran bermula daripada pembacaan, penghafazan dan pemahaman terhadapnya.

Semoga ahli keluarganya bersabar dengan musibah yang menimpa mereka, sesungguhnya kami dan kita semua kehilangan seorang ahli al-Quran yang berkaliber di bumi Sabah. Daripada Allah kita datang, kepada-Nya kita kembali. Al-Fatihah.

Ini pula suasana pada minggu kedua di Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu ketika solat zuhur pada isnin 8 Ogos 2011 bersamaan 8 Ramadhan 1432H. Berbanding dengan suasana minggu pertama tempohari, secara keseluruhannya, kehadiran jamaah yang hadir masih belum berubah atau berkurang, iaitu sekitar 3/4 dewan utama solat (tanpa mengambil kira mereka yang masbuq dan solat di tingkat bawah). Kapasiti dalam dewan utama ini seingat saya mencapai sekitar 900 ke 1000 jamaah pada satu-satu masa.

Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah juga mengadakan tazkirah selepasnya sekitar 30 minit yang dipimpin oleh para ustaz dan ilmuan secara bergilir-gilir. Pada 3 Ramadhan tempohari, seorang doktor perubatan juga diundang menyampaikan tazkirah berkenaan topik rokok. Ustaz Abu Hurairah juga mengisi slot hari keempat dengan menyampaikan topik sejarah Bani Israil yang menarik perhatian jamaah.

Semoga berterusan. Kita tunggu pula suasana minggu ketiga.

%d bloggers like this: