Penyusun : Othman Ramli

Penerbit : Sarjana Media

Harga : RM35.00

Suatu masa Juha telah mendengar seorang pemuda yang berkata dengan penuh angkuh: “Sesungguhnya aku seorang yang bijak, sepanjang hidupku tidak pernah sekalipun aku ditipu, dan aku mencabar sesiapa sahaja di sini yang dapat menipuku.”

Juha lalu bertemu pemuda itu lalu berkata: “Wahai pemuda yang bijak, aku mahu menyahut cabaranmu tetapi aku harap engkau tunggu sebentar kerana aku mahu pulang sekejap ke rumah” Juha lalu pergi meninggalkan pemuda tersebut. Pemuda yang angkuh itu terus menunggu kedatangan Juha untuk menyahut cabarannya.

Setelah dua jam kemudian, datanglah seorang lelaki yang lain lalu bertanya kepadanya: “Wahai kawanku, kenapa kamu berdiri di sini?”

“Aku sedang menunggu Juha yang pulang ke rumahnya tadi, dia telah menyahut cabaran untuk menipuku.” kata pemuda itu tanpa mengetahui keadaan sebenarnya.

Mendengarkan kata-kata pemuda itu, kawannya langsung ketawa sambil berkata: “Hari ini kamu telah kalah, sebenarnya kamu telah ditipunya.”

***

Juha terkenal sebagai seorang yang pintar, alim, bijak bersyair, dihormati masyarakat dan juga oleh pemerintah walaupun dia tidaklah memegang sebarang jawatan dalam kerajaan. Dia digambarkan seorang ulama dan tokoh masyarakat, namun pada masa yang sama juga dia adalah seorang pelawak yang amat disenangi humornya oleh mereka yang mengenalinya.

Penulis lalu mengumpulkan kisah-kisah Juha yang lucu ini. Namun di dalam jenakaya itu tetap mempunyai nilai-nilai mulia untuk dipersembahkan kepada semua pembaca. Kisah-kisahnya jenaka teladan ini juga dirombak semula berdasarkan kisah asal bertujuan untuk lebih memuliakan tokoh ini. Kisahnya juga dipersembahkan dengan lebih segar di samping iustrasi berwarna yang menarik. Di samping bergelak ketawa dengan humor Juha ini, dapatlah kiranya kita dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripada teladan yang boleh didapati daripadanya.