Archive for 7 Ogos 2011


SABAR SAJALAH

Kes 1.

Saya dapat maklum seorang yang mengaku saudara baru mengamuk dan buat kecoh di bahagian dakwah tempoh hari.  Ia gara-gara kononnya (menurut ceritanya) ada maklumat penting yang salah sehingga beliau gagal menerima wang zakat sebanyak RM500 yang diberi oleh Pusat Zakat Sabah. Khabarnya, pada peringkat awal daftar keislamannya ialah pada 1979, ketika usianya beberapa bulan mengikut keluarganya yang memeluk Islam.

Baru-baru ini dia datang semula dan ingin membetulkan maklumat bahawa beliau memeluk Islam pada tahun 2009. Pegawai berkenaan meminta tempoh untuk menyemak dan membuka fail lama serta meminta saudara berkenaan datang semula beberapa hari kemudian. Tidak semena-mena dia mengamuk dan mahu diselesaikan pada waktu itu juga sambil mengugut hendak murtad dan sebagainya. (Pusat Zakat Sabah menyatakan tempoh untuk saudara baru menerima zakat selepas keislamannya ialah dalam tempoh lima tahun sahaja).

Saya tidak tahu kisah selanjutnya kerana ketika itu (waktu zuhur) saya sedang iktikaf di Masjid Negeri. Lelaki berkenaan rupanya ke Masjid Negeri dan mencari-cari orang yang boleh membantunya. Saya mendengar keluhannya dan menyatakan dia perlu balik segera ke Ranau dan tidak punya tambang walau sesen. Sambil bercerita masalahnya, dia berkali-kali menyebut hendak balik ke Ranau segera, kalau tidak bimbangkan kehabisan bas. Kononnya. Saya tidak mahu memanjangkan kalam menyuruhnya bersabar, sekadar memberinya RM20.00.

Jam 2 saya kembali ke Wisma MUIS. Hendak ditakdirkan Allah, saya melihat kelibat lelaki tadi merayau-rayau dan bercerita dengan beberapa orang. Dia tidak menyedari saya melihatnya dari jauh. Saya kemudian lalu di hadapannya, dan menyoalnya : Kamu menipu ya? Tadi kata mau balik Ranau? Dengan selambanya dia menjawab, “Masih awal lagi baa..” Katanya lagi : Encik janganlah buat kecoh, malu saya..” Saya katakan : Siapa buat kecoh tadi di pejabat? Kamu kan?” Saya tinggalkan dia terpinga-pinga sendirian.

Kes 2.

Ceritanya juga di Masjid Negeri Sabah. Hari ini selesai mendengar tazkirah zuhur, saya didekati oleh seseorang. Tanyanya : Di mana balai polis terdekat?” Saya kata balai polis Tanjung Aru, kerana setahu saya jika ada kes melibatkan kawasan Masjid Negeri akan dirujuk ke sana. Kata lelaki berkenaan lagi : “Ic saya hilang, mau buat laporan ke balai polis. Saya perlu tambang ke sana, saya tiada duit”.

Saya jadi simpati. Dia mengeluarkan selembar kertas salinan kad pengenalan yang berlipat-lipat, tapi dia tidak menghulurkannya kepada saya. “Minta”, pinta saya kepadanya, ingin melihat salinan kad pengenalannya. “Tidak, tidak payahlah”, jawabnya. “Mari saya bawa kamu jumpa sekuriti, diorang boleh tolong”, kata saya. “Tidak, tidak…”

“Sudahlah kalau tidak mahu..” Hasrat hendak menolong terbantut kerana sikapnya. Hendak menghulur 2-3 ringgit buat tambang tidaklah berat, bahkan saya boleh tolong hantar jika perlu. Akhirnya lelaki berkenaan pergi begitu saja. Adakah mereka, dalam dua kes berkenaan mengambil kesempatan dengan kemurahan hati umat Islam pada bulan Ramadhan untuk menipu?

Saya pulangkan kepada tuan puan pembaca untuk menilainya.

Saya yakin pemergiannya membawa nama yang harum. Meski saya tidak mengenali beliau, (mungkin pernah bertemu sekali dua) daripada cerita sahabat-sahabat yang mengenali rapat dengannya beliau adalah orang yang berada di medan perjuangan menurut kemampuannya sendiri, memasarkan PAS ke dalam masyarakat melalui jualan harakah ke hulu ke hilir dan menjadi naqib dalam usrah sejak beliau berada di Keningau lagi.

Allahyarham Cikgu Rumaizi Mohammad (45 tahun) yang kembali kerahmatullah pada jam 1 pagi pada 2 Ogos di Tuaran, saat umat Islam baru sehari berpuasa Ramadhan 1432, khabarnya mengalami barah usus yang mencengkam pada saat-saat akhir kehidupannya. Beliau berasal dari Terengganu dan datang ke Sabah sejak 1989. Pada awal 1990an, beliau antara teraju dalam Pemuda Negeri Sabah sementara isterinya juga seorang aktivis muslimat. Alhamdulillah pemergiannya diziarahi dan diiringi oleh ramai umat Islam, baik daripada pendukung gerakan Islam, para guru jabatan pelajaran dan masyarakat kampung.

Sekalung al-Fatihah buat beliau dan semoga isteri dan anak-anak beliau seramai 5 orang bersabar dengan ujian Allah SWT ini. Insya Allah kebaikan yang dilakukan sepanjang hayatnya menjadi amal jariah yang akan dituai di hadapan Allah SWT kelak. Saya ada mencadangkan agar sahabat-sahabat rapat beliau membuat artikel berkenaan kehidupan dan perjuangan beliau untuk tatapan dan teladan generasi kini dan akan datang.

%d bloggers like this: