Khatib : Ustaz Zulfauzi Awang Besar

Lokasi : Masjid Negeri Sabah

Dalam bukunya Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali mengatakan bahawa puasa itu ada tahap-tahapnya. Beliau membahagikan kepada tiga tahap atau tingkat, iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa yang khusus daripada khusus (lebih khusus lagi). Yang paling rendah ialah puasa umum atau puasa orang kebanyakan. Puasa tahap ini hanya sekadar meninggalkan makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa.

Puasa tahap kedua adalah puasa orang khas. Pada tahap ini, akhlak dipastikan terpelihara daripada segala perkara yang keji dan tercela, di samping melakukan perkara-perkara sunat bagi menambahkan lagi kualiti puasa. Puasa peringkat ini dikatakan puasa orang soleh.  Puasa tingkatan tertinggi ialah puasa paling khas atau khusus daripada khusus. Dalam konteks puasa tahap ini, bukan sahaja menjaga segala perkara yang membatalkan puasa tetapi juga perkara yang boleh membatalkan pahala puasa. Dalam erti kata lain, seluruh anggota badan turut berpuasa manakala hati sentiasa berzikir kepada Allah SWT. Puasa tahap ini adalah puasa nabi, siddiqin, dan muqarrabin.

Walaupun agak sukar bagi kita mencapai puasa tahap tertinggi, iaitu Puasa khusus daripada khusus, namun kita hendaklah sentiasa berusaha meningkatkan kualiti ibadah puasa kita dari tahun ke tahun. Berupaya mencapai tingkat kedua puasa, iaitu puasa orang soleh pun sudah cukup baik. Dan, puasa tingkat inilah yang seharusnya kita berusaha mencapainya.  Dalam hubungan ini, Imam al-Ghazali menggariskan enam perkara untuk mencapai kesempurnaan puasa tahap kedua itu.

Pertama, menahan pandangan daripada segala hal yang dicela dan dimakruhkan serta daripada setiap yang membimbangkan dan melalaikan daripada mengingati Allah SWT. Kedua, memelihara lidah daripada perkataan yang sia-sia seperti berdusta, mengumpat, memaki dan lain-lain lagi. Ini kerana mengumpat dan berbohong merosakkan puasa. Ketiga, memelihara pendengaran daripada mendengar kata-kata yang tidak baik. Ini kerana tiap-tiap yang haram diucapkan maka haram pula mendengarnya.

Keempat, memelihara anggota tubuh lain daripada perbuatan dosa seperti mengawal tangan dan kaki daripada berbuat maksiat dan mungkar, mengawal perut daripada memakan yang haram atau diragukan kehalalannya. Kelima, tidak melampau-lampau atau berlebih-lebihan dalam berbuka atau bersahur sehingga perutnya penuh dengan makanan. Keenam, hati sentiasa diliputi perasaan bimbang (khauf) dan pengharapan. Ini kerana tidak diketahui sama ada puasa kita diterima atau tidak oleh Allah. Rasa bimbang puasa tidak diterima boleh mendorong seseorang itu memperbaiki lagi kualiti puasa yang dilakukan.