Archive for 6 Ogos 2011


Khatib : Ustaz Zulfauzi Awang Besar

Lokasi : Masjid Negeri Sabah

Dalam bukunya Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali mengatakan bahawa puasa itu ada tahap-tahapnya. Beliau membahagikan kepada tiga tahap atau tingkat, iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa yang khusus daripada khusus (lebih khusus lagi). Yang paling rendah ialah puasa umum atau puasa orang kebanyakan. Puasa tahap ini hanya sekadar meninggalkan makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa.

Puasa tahap kedua adalah puasa orang khas. Pada tahap ini, akhlak dipastikan terpelihara daripada segala perkara yang keji dan tercela, di samping melakukan perkara-perkara sunat bagi menambahkan lagi kualiti puasa. Puasa peringkat ini dikatakan puasa orang soleh.  Puasa tingkatan tertinggi ialah puasa paling khas atau khusus daripada khusus. Dalam konteks puasa tahap ini, bukan sahaja menjaga segala perkara yang membatalkan puasa tetapi juga perkara yang boleh membatalkan pahala puasa. Dalam erti kata lain, seluruh anggota badan turut berpuasa manakala hati sentiasa berzikir kepada Allah SWT. Puasa tahap ini adalah puasa nabi, siddiqin, dan muqarrabin.

Walaupun agak sukar bagi kita mencapai puasa tahap tertinggi, iaitu Puasa khusus daripada khusus, namun kita hendaklah sentiasa berusaha meningkatkan kualiti ibadah puasa kita dari tahun ke tahun. Berupaya mencapai tingkat kedua puasa, iaitu puasa orang soleh pun sudah cukup baik. Dan, puasa tingkat inilah yang seharusnya kita berusaha mencapainya.  Dalam hubungan ini, Imam al-Ghazali menggariskan enam perkara untuk mencapai kesempurnaan puasa tahap kedua itu.

Pertama, menahan pandangan daripada segala hal yang dicela dan dimakruhkan serta daripada setiap yang membimbangkan dan melalaikan daripada mengingati Allah SWT. Kedua, memelihara lidah daripada perkataan yang sia-sia seperti berdusta, mengumpat, memaki dan lain-lain lagi. Ini kerana mengumpat dan berbohong merosakkan puasa. Ketiga, memelihara pendengaran daripada mendengar kata-kata yang tidak baik. Ini kerana tiap-tiap yang haram diucapkan maka haram pula mendengarnya.

Keempat, memelihara anggota tubuh lain daripada perbuatan dosa seperti mengawal tangan dan kaki daripada berbuat maksiat dan mungkar, mengawal perut daripada memakan yang haram atau diragukan kehalalannya. Kelima, tidak melampau-lampau atau berlebih-lebihan dalam berbuka atau bersahur sehingga perutnya penuh dengan makanan. Keenam, hati sentiasa diliputi perasaan bimbang (khauf) dan pengharapan. Ini kerana tidak diketahui sama ada puasa kita diterima atau tidak oleh Allah. Rasa bimbang puasa tidak diterima boleh mendorong seseorang itu memperbaiki lagi kualiti puasa yang dilakukan.

Penulis : DS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Penerbit : PTS Islamika Sdn Bhd

Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia,dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (Al-Baqarah:185)

Isi Kandungan : 1. Selamat Datang Ramadan 2. Apa Itu Puasa? 3. Sejarah Puasa 4. Suai Kenal Ramadan 5. Banyaknya Kelebihan Ramadan 6. Rahsia Puasa Ramadan 7. Hikmah Puasa 8. Peristiwa Besar pada Bulan Ramadan 9. Puasa Daripada Perspektif Kesihatan 10.Puasa Daripada Perpektif Psikologi 11.Bagaimana Cara Berpuasa? 12.Mengenali Puasa Wajib 13.Perkara Penting Sebelum Berpuasa 14.Ganjaran Bonus 15.Doa Orang Berpuasa 16.Apa yang Membatalkan Puasa? 17.Puasa Ganti 18.Kesimpulan: Puasa Dan Latihan Diri

Yang Berhormat Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang adalah tokoh ulama, Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan bekas Menteri Besar Terengganu pada tahun 1999-2004. Beliau dilahirkan pada 20 Oktober 1947 di Kampung Marang, Terengganu.

Info Penulis :

Beliau mendapat pendidikan awal di Rusila, Marang sebelum menjejak ke Sekolah Agama Marang. Selepas tamat pengajian di sekolah rendah, beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Sekolah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Beliau juga mendapat pendidikan agama, Bahasa Arab dan politik daripada ayahnya sendiri iaitu Tuan Guru Haji Awang Muhammad yang bertugas sebagai guru agama dan imam di Masjid Rusila. Selepas tamat pengajian di peringkat menengah, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah, Arab Saudi dan memperolehi ijazah B.A Syariah seterusnya ijazah M.A di Universiti al-Azhar, Mesir.

Berbekalkan laptop peribadi, beliau aktif menulis buku, artikel, khutbah termasuk laman web dan blog. Antara karya beliau adalah Inilah Akidah Islam, Beriman kepada Allah, Beriman kepada Rasul, Beriman kepada Malaikat dan Kitab, Beriman kepada Hari Kiamat, Beriman kepada Qada dan Qadar, Islam dan Demokrasi, Ramadan: Tetamu yang Dirindui, Islam: Adil untuk Semua, Bagaimana Islam Memerintah Negara, dan banyak lagi. Beliau dianugerahkan Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu (SSMT) yang membawa gelaran Dato’ Seri oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-39.

%d bloggers like this: