Saya yakin ia merupakan hari bahagia dan bersejarah buat Cressia Shirly binti Yalip yang baru berumur 21 tahun, berasal dari Tuaran kerana sehari sebelum Ramadhan Cressia kembali ke agama fitrah yang telah dijanjikannya ketika di alam ruh. Sungguh, Islam adalah agama yang diridhai oleh Allah SWT, tiada agama yang lain benar meskipun Islam selalu disalahfahami oleh ramai orang walau orang Islam sendiri.

Maksud firman Allah : Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil ia bertanya Dengan firmanNya): “Bukankah Aku Tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak : “Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”. (al-A’raf : 172)

Majlis pengislaman diadakan di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral dan disempurnakan oleh Brother Shah Kirit, seorang pendakwah dan pakar perbandingan agama serta disaksikan oleh sekitar 200 jamaah surau. Alhamdulillah, buat tahun ketiga berturut-turut, surau ini mengadakan majlis pengislaman setiap tahun, kesemuanya menjelang atau dalam bulan Ramadhan.