Archive for Julai, 2011


PROMO PESTA IBADAH

Terima kasih dan tahniah kepada Anwar Hadi yang membikin video klip ini.

Anakanda kedua kepada sahabat kami ini selamat dilahirkan sebelum subuh pada hari bersejarah 9 Julai 2011 lalu di Kota Kinabalu. Oleh kerana tarikh itu adalah suatu fenomena dan sejarah yang akan dikenang oleh generasi negara ini (bahkan juga mungkin dari luar negara), saya cadangkan nama Nazifah diberikan kepadanya.

Alhamdulillah, cadangan lewat facebook itu diterima baik oleh Sdr Nasr sekeluarga dengan sedikit penambahan – Nazifatul Husna. Semoga anak ini seperti lahirnya BERSIH dan berkekalan bersihnya sepanjang hayat dan menjadi insan yang BAIK, berbakti kepada orang tua dan masyarakatnya suatu hari nanti. Malam tadi, kami berziarah ke rumah mereka meraikan Nazifatul Husna dan saya sempat mentahnikkannya dengan cebisan tamar yang disediakan.

Petang sabtu, 23 Julai lalu saya menghantar isteri yang menyertai program ceramah bulanan kaum ibu @ muslimat di Masjid Nurul Ihsan Kampung Lok Kawi Baru. Idea mengadakan program berkenaan saya sampaikan kepada pengerusi dan imam masjid berkenaan bagi membantu memberi kefahaman kepada kaum ibu berkaitan hal ehwal ajaran agama Islam.

Alhamdulillah, tidak kurang 40 orang kaum ibu yang hadir tidak termasuk anak-anak kecil yang turut sama memeriahkan program berkenaan. Saya pernah bincangkan hal ini kepada jamaah masjid berkenaan bahawa banyak peraturan agama yang tidak diketahui oleh kaum ibu dan dalam masa yang sama mereka tidak digerakkan untuk diberikan kefahaman sedangkan masa mereka banyak dihabiskan bersama anak-anak, memasak, membasuh pakaian dan sebagainya sedangkan semua perkara tersebut memerlukan kefahaman agama yang baik.

Contohnya pendidikan anak-anak, kaedah membersihkan pakaian menurut ilmu fekah (sedangkan pakaian itu nanti dibawa solat dsb), masakan yang menepati syariat ugama dan sebagainya. Sementara ceramah tempohari berkisar tentang persediaan menyambut bulan Ramadhan, khususnya yang ada kaitan dengan hukum hakam untuk muslimat. Terima kasih atas kesudian semua yang terlibat – penceramah, pengerusi dan JK Masjid serta kaum ibu serta anak-anak yang hadir.

Ada masa kita atur program yang lain pula.

Orang kata, perkara yang baik patut diikut. Saya mengikuti perkembangan dan pergerakan beberapa kumpulan dan NGO berkenaan bentuk-bentuk pengisian khususnya dalam bulan Ramadhan. Kempen sekampit beras ini antara program menarik yang ingin kami gerak dan kembangkan di sini bersama sahabat-sahabat yang lain.

Ramadhan ini, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah dibantu oleh ramai individu prihatin melancarkan program kempen sekampit beras (5kg) yang kemudiannya akan diagihkan kepada golongan memerlukan. Untuk kempen kali ini, jika diizinkan Allah dan mencapai sasaran jumlah kampit yang diharapkan, kami berhasrat untuk mengedarkan beras-beras berkenaan di sekitar Putatan, Sepanggar, Beaufort, Sipitang, Kota Belud dan Pitas. Insya Allah pada tahun akan datang, jika ada rezeki kita boleh luaskan ke daerah-daerah yang lain pula.

Bagi yang berminat, sumbangan boleh disampaikan terus ke Masjid Negeri Sabah dan Surau Riyadhus Solihin Taman Austral sebagai lokasi pengumpulan beras berkenaan. Untuk memudahkan kerja pengagihan, kami mengutamakan dan menggalakkan peserta yang berminat agar terus membeli sekurang-kurangnya sekampit beras. Walaubagaimanapun kami menerima jika ada pihak yang memberi dalam bentuk wang. Penama-penama berikut boleh dihubungi untuk proses penghantaran beras, pertanyaan dan maklumat lanjut :

Tuan Haji Mohd Pozi Awang : 019-8025254 (Lembaga Koko Malaysia @ Setiausaha JK Surau Riyadhus Solihin Taman Austral @ Setiausaha Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah);  Ustaz Mohamad Suaid : 019-8121621 (Timbalan Pengerusi JK Surau Riyadhus Solihin @ Ahli PUM Sabah);  Mohd Shakir Mohd Nawi : 019-9251289 (Wakil di Petronas KK); Dr Aliakbar Gulasan : 013-8715971; (UMS @ Setiausaha Kerja PUM Sabah); Md Arash Abdul Ghani : 019-5397287 (Sukarelawan Syukbah Dakwah).

Selain penama di atas, segala pertanyaan juga boleh disalurkan melalui blog Abu Nuha Corner dan FB Abu Nuha. Kami juga mengalu-alukan sebarang usaha untuk memanjangkan hebahan  ini kepada kenalan, keluarga, jiran tetangga, jamaah masjid/surau atau rakan sepejabat masing-masing. Sumbangan boleh diserahkan pada bila-bila masa sebelum 20 Ogos 2011. Sumbangan beras yang diterima akan disampaikan kepada sasaran sedikit demi sedikit khususnya pada hujung minggu.

NUR SOFEA ZAHRAH

Sekalung tahniah kami sekeluarga ucapkan buat Norhayati Ahmad dan suami yang menimang cahayamata pertama mereka dua bulan lalu. Saya hampir terlupa untuk memuatkan foto kenangan mereka bertiga dalam kenduri kesyukuran yang kami hadiri di rumah mereka di Kg Muhibbah Baru Petagas tempoh hari. Majlis dilengkapkan dengan pelaminan bayi yang cantik tanda kegembiraan seluruh keluarga. Imam Qaryah Petagas, Imam Norisyam Pura memimpin kenduri kesyukuran berkenaan.

Mudah-mudahan kehadiran cahayamata sulung ini membawa seri kebahagiaan dalam rumahtangga. Tahniah juga buat semua ahli keluarga mereka kerana mendapat ahli keluarga yang baru. Mudah-mudahan keluarga ini diberkati Allah SWT.

Apabila saya maklumkan kepada anak-anak – Nuha, Hana dan Hadi – bahawa Bob Lokman akan datang ke Kota Kinabalu dan khususnya mengisi satu slot di Surau Riyadhus Solihin Taman Ausral, mereka semuanya beriya-iya mahu turut hendak berjumpa. Saya kira, watak Bob Lokman dalam drama ‘Zoo’ di Astro Ceria banyak mengingatkan mereka tentang Bob Lokman. Begitu juga dengan drama ‘Fatimah Juling’. Saya dimaklumkan oleh abang Bob Lokman malam itu bahawa itulah drama terakhir lakonannya sebelum berlepas ke Kedah tempohari.

Saya turut membaca buku tulisan beliau dan Ustaz Riduan Mohamad Nor bertajuk ‘Aku, Isabella dan Tok Kenali’ yang menceritakan tentang kehidupan beliau sejak zaman kecil, zaman rock kapak dan titik penghijrahan beliau sebagaimana yang ada kini. Maka saya membuat satu kesimpulan bahawa beliau sebenarnya kembali sebagaimana keadaan keluarganya yang asal. Beliau sudah teruji dalam sepak terajang dunia seni hiburan, berkawan rapat dengan ramai artis ternama tanahair tetapi buat masa ini Allah SWT memilih beliau dan beberapa orang lain untuk kembali ke pangkal jalan dengan asbab yang pelbagai.

Beliau pernah hidup dalam kemewahan dengan pendapatan puluhan ribu sebulan tetapi ketenangan hidup hanya dirasakan apabila beliau benar-benar kembali menjalani hidup sebagai seorang hamba Allah yang sebenar-benarnya. Oleh kerana beliau berasal daripada keluarga yang ‘mutadayyin’, maka apabila beliau tersilap langkah beberapa ketika, kemudian berpatah balik, saya kira ia tidak begitu sukar (walaupun tetap sukar) berbanding orang lain kerana beliau sudah mempunyai asas agama yang baik – keluarga, keturunan dan pendidikan agama.

Masa makan, saya bertanya kepadanya tentang persahabatannya dengan rakan-rakan artis. Katanya beliau rapat dengan ramai rakan artis ternama, tetapi kini semua SMSnya kepada rakan-rakannya tidak berbalas hatta walau sekadar bertanya khabar. Entah apa yang menghantui mereka, barangkali takut bisnes mereka terjejas dengan persahabatan dengan orang yang sudah balik ke pangkal jalan sepertinya apatah lagi Abang Bob sudah menyertai Parti Islam SeMalaysia sebagai wadah perjuangannya kini.

Saya terfikir, dengan kemahiran menulis lirik dan lagu yang dimiliki oleh Bob Lokman sehingga melahirkan lagu-lagu masyhur satu ketika dahulu, kenapa kemahiran itu tidak dimanfaatkan untuk Islam? Bukankah sangat baik kalau beliau terus menulis dan menghasilkan lagu-lagu perjuangan Islam, membangkitkan ruh aqidah dan akhlak Islami melalui seni lagu khususnya untuk tatapan anak-anak muda di negara kita? Mudah-mudahan beliau istiqamah di dalam perjuangan Islam.

IDRIS TAWFIQ

Sumber : http://zharifalimin.blogspot.com/

(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia) dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu). (QS Yunus: 25)

Ayat tersebut di atas menjelaskan bahawa Allah SWT akan memberikan hidayah (jalan kebaikan) kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya untuk memilih Islam. Tak peduli sesiapa pun. Baik kanak-kanak, majikan, mahupun tokoh agama bukan Islam sekalipun. Ayat tersebut sesuai dengan kisah Idris Tawfiq, seorang paderi di Britain yang akhirnya memilih Islam di dalam hidupnya. Beliau menjadi mualaf setelah mempelajari Islam dan melihat sikap lemah-lembut serta kesederhanaan umat Islam.

Sebelumnya, Idris Tawfiq adalah seorang paderi di gereja Katholik Rom di Britain. Pada awalnya beliau memiliki pandangan yang negatif terhadap Islam. Baginya Islam hanya sesuai dengan keganasan, potong tangan, diskriminasi terhadap perempuan, dan sebagainya. Namun pandangan itu mulai berubah ketika beliau melakukan kunjungan ke Mesir. Di negara piramid itu, Idris Tawfiq menyaksikan ketulusan dan kesederhanaan kaum Muslimin dalam melaksanakan ibadah dan serta keramahan sikap mereka.

Beliau melihat sikap umat Islam yang jauh berbeza dengan pandangannya selama ini. Menurutnya, Islam sangat lembut, bertolak ansur, sederhanana, ramah, dan memiliki sifat keteladanan yang boleh dijadikan contoh untuk agama lain.

Di Mesir, Tawfiq dapat merasakan kedamaian yang dicarinya. Pada awalnya hanya sebagai mengisi waktu cutinya dengan menyaksikan Pirmad, unta, padang pasir, dan pepohon padang pasir. Namun perkara ini membawanya kepada Islam dan membuat perubahan yang besar di dalam hidupnya.

”Mulanya mahu bercuti. Saya menaiki pesawat ke Hungary. Di Eropah saya mengunjungi beberapa pantai. Selepas itu saya menuju ke Kaherah, Mesir dan di sana saya menghabiskan masa yang paling indah di dalam hidup saya. ‘Ini adalah kali pertama saya berkenalan dengan umat Islam dan Islam. Saya melihat masyarakat Mesir yang lemah lembut, orangnya manis, tetapi sangat kuat,” terangnya.

”Saya melihat mereka tenang, lembut, dan tertib dalam beribadah. Terdapat juga suara panggilan solat (azan), mereka yang kebanyakannya peniaga, segera bergegas menuju masjid. Indah sekali saya melihatnya,” katanya.

Dari sinilah, pandangan Tawfiq berubah tentang Islam. ”Waktu itu, seperti masyarakat Britain yang lain, pengetahuan saya tentang Islam adalah seperti yang saya lihat di dalam TV bahawa Islam adlah ganas. Tetapi itu bukanlah ajaran Islam.” tegasnya. Di sana beliau membaca Al-Quran. Tawfiq terbaca keterangan di dalam Al-Quran yang menyatakan :

Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani”. Yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong. (Al-Maidah ayat 82).

Ayat ini membuatnya berfikir panjang. Baginya Islam adalah sangat baik dan bertolak-ansur. Tetapi ada pihak yang amat memusuhi islam. Inilah yang menjadi babak awal keislaman bekas paderi Britain ini dan akhirnya beliau menerima Islam.

Pulang dari Mesir, Tawfiq masih lagi menjadi penganut agama Katholik. Ketika beliau aktif mengajar pelajaran agama kepada para pelajarnya di sebuah sekolah umum di Britain, beliau diminta untuk mengajarkan pelajaran perbandingan agama.

”Saya mengajar tentang agama Kristian, Islam, Judaisme, Buddha dan lain-lain. Jadi, setiap hari saya harus membaca tentang agama Islam untuk saya ajarkan kepada pelajar. Dan di sana terdapat ramai penuntut Muslim berketurunan Arab. Mereka menunjukkan contoh pergaulan yang baik dan bersikap sopan dengan rakan-rakan. Dari sini, saya makin berminat untuk berinteraksi dengan pelajar Muslim,” ujarnya.

Sepanjang bulan Ramadhan, beliau melihat umat Islam, termasuk para siswanya, berpuasa serta melaksanakan solat tarawih bersama-sama. ”Perkara ini saya saksikan hampir setiap hari dalam bulan ramadhan. Lama kelamaan saya mula belajar dengan mereka, walaupun ketika itu saya belum menjadi Muslim,” papar Tawfiq.

Pada bulan Ramadhan, Tawfiq mempelajari Al-Quran. Beliau membaca ayat-ayat Al-Quran dari terjemahannya. Dan ketika membaca ayat 83 surah Al-Maidah, beliau kaku.

”Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Alquran).”(Al-Maidah ayat 83)

Secara tiba-tiba, Tawfiq dapat merasakan apa yang disampaikan al-Quran. Beliau menangis. Namun beliau sembunyikan dari pandangan para pelajarnya. Beliau dapat merasa sesuatu di sebalik ayat tersebut. Bermula dari kejadian itu, Tawfiq makin bersungguh-sungguh mempelajari Islam. Ketika terjadi peristiwa 11 September 2001 dimana dua menara kembar World Trade Center (WTC) di Amerika Serikat telah dirempuh oleh pesawat, ramai orang yang mempersalahkan umat islam dan Islam. Beliau sangat hairan. Walaupun masih memeluk Kristian, beliau yakin bahawa Islam tidak seperti itu.

”Awalnya saya takut juga. Saya khuatir peristiwa sama akan berulang di Britain. Lebih-lebih lagi orang barat menuduh orang Islam yang melakukan rempuhan itu” kata Tawfiq.

Namun Tawfiq yakin, Islam tidak seperti apa yang barat fikirkan. Dengan pengalaman di Mesir, beliau dapat melihat Islam adalah agama yang sangat baik, dan penuh dengan toleransi. Terdetik di hatinya, ”Mengapa Islam? Mengapa kita menyalahkan Islam sebagai agama keganasan. Bagaimana jika kejadian itu dilakukan oleh orang Kristian? Adakah Kristian akan dilabel sebagai pengganas?” Kerana itu, beliau mengagak kejadian itu hanyalah dilakukan oleh pihak tertentu, dan bukannya dari ajaran Islam.

Memeluk Islam

Bermula dari situ, beliau cuba mencari jawapannya. Beliau pergi ke Masjid terbesar di London dan berbincang dengan Yusuf Islam tentang Islam. Tawfiq memberanikan diri bertanya pada Yusuf Islam. ”Apa yang akan kamu lakukan apabila menjadi Muslim?”

Yusuf Islam menjawab. ”Seorang Muslim harus percaya pada satu Tuhan, solat lima kali sehari, dan berpuasa pada bulan Ramadhan,” ujar Yusuf yang dikenali sebagai Cat Stevens.

Tawfiq berkata, ”Semua itu sudah saya lakukan.”

Yusuf berkata, ”Jadi apa yang kamu tunggu?”

Saya katakan, ”Saya masih seorang yang beragama Kristian.”

Perbincangan kami terhenti seketika kerana sudah tiba waktu solat zohor. Para jamaah bersiap-siap untuk menunaikan solat. Saya mundur ke belakang saf dan menunggu sehingga selesai solat.

Ketika menunggu, Tawfiq terdengar suara yang mempertikaikan sikapnya. ”Saya menjerit, walaupun di dalam hati. ”Siapa yang cuba bermain-main dengan saya.”

Namun saya tidak menjumpai pemilik suara itu. Tetapi suara itu mengajak saya untuk memeluk. Akhirnya, selepas solat selesai, Tawfiq segera menuju ke arah Yusuf Islam. Dan beliau menyatakan ingin memeluk Islam. Tawfiq meminta Yusuf Islam mengajarnya mengucap dua kalimat syahadat.

”Ayshadu an Laa Ilaha Illallah. Wa Asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah.” Saya bersaksi, tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Utusan Allah.

Jamaah menyambut dengan gembira. Tawfiq menitiskan air mata. Bukan kerana sedih, tetapi terasa sangat bahagia. Tawfiq telah memilih agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW ini. Beliau tidak menyesal setelah menjadi pengikutnya. Pangkat dan penghargaan yang diterimanya dari gereja dilupakan dan ditinggalkannya.

Seperti yang kita tahu, Idris Tawfiq mendapat gelaran kesarjanaan dari University of Manchester dalam bidang sastera, dan gelaran bishop dari University of Saint Thomas Aquinas di Rom. Berstatuskan gelaran tersebut, beliau dapat mengajar ilmu Katholik kepada jemaatnya. Namun, akhirnya beliau beralih mengajarkan Islam kepada masyarakatnya.

”Dulu saya gembira menjadi paderi dan pastor untuk membantu masyarakat selama beberapa tahun yang lalu. Namun, saya dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Saya beruntung, Allah SWT memberikan hidayah pada saya. Saya tidak menyesal meninggalkan tugas saya di gereja. Saya percaya, kejadian (keislamannya) ini lebih baik jika dibandingkan dengan kehidupan masa lalu saya,” terangnya.

Berdakwah Melalui Lisan dan Tulisan

Ketika ditanyakan pada Idris Tawfiq tentang perbezaan besar antara Kristian Katholik dan Islam, beliau berkata: ”Dasar dari agama Islam adalah Allah. Semua perkara disaksikan Allah, tidak ada yang luput dari perhatianNya. Ini berbeza dengan agama lain. Islam merupakan agama yang menyeluruh.”

Beliau menambah, Islam mengajar umatnya untuk senantiasa beribadah kepada Allah setiap masa. Tidak hanya beribadah pada hari minggu. Selain itu beliau berkata, Islam mengajar umatnya cara menegur dan menyapa orang lain dengan lembut, bersikap ramah, mengajarkan adab makan dan minum, memasuki rumah orang lain, cara bersilaturahim yang baik. ”Tidak hanya dengan itu, semua persoalan dijawab dan diajarkan di dalam Islam,” terangnya.

Penceramah Dan Penulis

Caranya bertutur, sikapnya yang sopan santun banyak disukai masyarakat. Gaya bicaranya yang baik serta sederhana dan lemah lembut, menyentuh hati menyebabkan orang mudah terpikat dengan hujah-hujahnya. Tawfiq kini giat berceramah dan menulis buku tentang Islam dan keislamannya.

Tawfiq menyampaikan ceramah ke merata tempat dengan satu tujuan, menyebarkan dakwah Islam. Idris Tawfiq mengatakan, dia bukanlah pakar dalam agama. Namun beliau memiliki cara menjelaskan tentang Islam dalam bentuk yang sangat sederhana. Dia memiliki banyak pengalaman dalam berceramah dan mengenali karakter masyarakat.

Tawfiq juga dikenali sebagai penulis. Tulisannya tersebar di ruangan surat khabar, majalah, jurnal, dan laman web. Beliau juga menyumbang artikel-artikel dalam laman web http:/www.islamonline.net  dan http://www.readingislam.com.

Dia menulis artikel mingguan di Mesir Mail, akbar tertua Mesir berbahasa Inggeris, dan Sawt Al-Azhar, surat khabar Al-Azhar University. Dia juga adalah pengarang beberapa buah buku. Antaranya, Dari syurga yang penuh kenikmatan: sederhana, pengenalan Islam; Berbicara ke Pemuda Muslim; Berbicara ke Mualaf. Selain itu, beliau juga menjadi juru bicara umat Islam di Barat. Beliau juga banyak memberi ceramah melalui radio dan televisyen.

Web beliau : http://www.idristawfiq.com

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru

Perkara berkaitan persediaan menghadapi Ramadhan.

Pertama, persediaan dari sudut iman dan taqwa. Orang beriman hakikatnya merindui kedatangan Ramadhan mengatasi rindu seseorang kepada kekasihnya. Sejak lama dia sudah berdoa agar diberikan kesempatan bertemu dengannya. Apabila bertemu Ramadhan, hatinya sangat gembira bukannya merungut dan menyesal.

Kedua, umat Islam mesti mempunyai persiapan ilmu. Iaitu ilmu yang berkait dengan puasa seperti syarat sah dan batal, rukun, sunat dan makruh, adab dan akhlak berpuasa. Begitu juga dengan ilmu-ilmu berkenaan hukum hakam yang berkaitan dengan solat berjamaah, iktikaf, tadarrus dan tilawah al-Quran, qiyamullail, lailatul qadar, sedekah, tarawih, dan sebagainya. Kena ingat, Ramadhan bukan sekadar puasa. Melaksanakan ibadah-ibadah di dalam bulan Ramadhan dan di luar Ramadhan mestilah dengan ilmu pengetahuan, bukan dengan sekadar semangat dan ikut-ikutan.

Ketiga, umat Islam mesti mempunyai persediaan dari sudut fizikal. Kesihatan yang baik membolehkan kita beribadah dengan selesa. Menjaga kesihatan termasuklah soal pemilihan dan penjagaan makanan, tidur yang cukup dan lain-lain. Orang yang bertenaga boleh bertahan membaca al-Quran, solat tarawih lengkap 20 rakaat, boleh qiamullail pada waktu sahurnya.

Keempat, persediaan dari sudut harta. Simpanlah sedikit pendapatan untuk bersedekah di dalam bulan Ramadhan. Sedekah seringgit di luar Ramadhan nilainya tidak sama di sisi Allah dengan sedekah seringgit di dalam Ramadhan. Bersedekahlah dengan memberi makan orang berbuka puasa, atau mewaqafkan sesuatu yang lebih berkekalan. Bahkan seorang isteri dan ibu yang berhalangan untuk puasa kerana haid atau nifas, tetapi menyediakan jamuan sungkai kepada suami dan anak-anaknya, maka dia juga dikira mendapat pahala seperti orang yang berpuasa juga.

 

 

 

%d bloggers like this: