Saya hampir terlupa menghadiri seminar berkenaan yang diadakan di Dewan Besar, Dewan Bahasa & Pustaka Cawangan Sabah pada isnin lalu walaupun sudah mengesahkan nama mewakili Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah. Pada awal pagi saya menyertai pegawai JHEAINS menerima lawatan JAIS, tetapi sekitar jam 10 pagi saya bergerak ke Seminar Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Seminar dimulakan dengan pembentangan kertas kerja bertajuk “Konsep Akidah : Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah” yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi bin Hamat, Ketua Jabatan Akidah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Kemudian diteruskan dengan pembentangan kedua yang bertajuk “Ancaman Ke Atas Akidah Ummah” yang disampaikan oleh Ustaz Haji Zamihan bin Mat Zin, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).

Setelah melihat keperluan memahami aqidah yang sebenar, saya merasakan program ini sewajarnya diadakan secara bersiri apatah lagi pembentangan Ustaz Zamihan al-Ghari dirasakan terlalu singkat terutama apabila beliau hanya sempat menerangkan Syiah dan sebahagian berkenaan Wahabi. Selain itu, kehadiran boleh dikembangkan kepada lebih ramai pihak seperti wakil IPTA, IPTS, pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan (kerana ada jabatan hanya menghantar kakitangan biasa sahaja) pegawai kanan pasukan beruniform seperti PDRM dan ATM.