Archive for 29 Julai 2011


KEMALANGAN LAGI

Hari rabu lepas kereta persona yang saya pandu kemalangan lagi. Pagi rabu, saya keluar awal untuk menghantar isteri dan anak-anak sementara saya tidak ke pejabat kerana hendak berangkat ke KLIA sebelah tengahari untuk menyertai mesyuarat Lajnah Tashih al-Quran Kementerian Dalam Negeri yang dijadualkan di Port Dickson Negeri Sembilan.

Selesai urusan penghantaran, saya ke beberapa lokasi untuk membayar bil telefon dan menjelaskan saman parkir di Balai Polis Kota Kinabalu. Saya kira hendak menyelesaikan semuanya sebelum berangkat ke KLIA. Hampir jam 10 saya ke Terminal 1 untuk mengambil pas masuk lebih awal memandangkan penerbangan jam 1.30 tengahari. Seterusnya saya bergerak ke arah Putatan untuk membeli beberapa keperluan.

Melepasi lampu trafik Petagas, ada satu simpang u-turn berhadapan villa Datuk Halik Zaman dan tidak semena-mena sebuah kereta kancil membuat pusingan u secara mengejut sedangkan kereta saya sudah terlalu hampir, hanya beberapa meter. Maka berlakulah apa yang telah berlaku. Keadaan hadapan kereta remuk sementara kereta kancil remuk di pintu belakang bahagian kiri. Hendak dimarah, pemandunya adalah orang tua berumur lebih 60 tahun. Bersamanya ada menantu perempuan dan cucunya berumur 3 tahun. Cucunya itu berdarah di bahagian mulut.

Apabila saya tanya kepada pakcik tersebut kenapa beliau membuat pusingan u sedangkan kereta di hadapan terlalu hampir, dia hanya menjawab ‘aku ikut kereta hadapan pusing, aku pusinglah’. Bagi saya kereta adalah harta dunia yang boleh dibaiki atau dibeli baru, tetapi saya agak terkesan dengan luka yang dialami oleh cucunya walaupun hanya cedera ringan. Meski bukan saya yang salah, untuk beberapa hari saya terkenangkan cucunya yang barangkali terhentak dinding kereta.

Pakcik berkenaan yang berasal dari Papar hanya terduduk di pembahagi jalan setelah menantu dan cucunya dihantar oleh orang lain. Mungkin pakcik berkenaan terkejut dengan peristiwa yang berlaku dalam sekelip mata itu. Memang jalanraya sesak selepas itu apatah lagi kereta kancil melintang di tengah jalan, polis trafik hanya tiba jam 10.30 pagi – 20 minit selepas kemalangan berlaku.

Dalam tempoh menanti polis dan sepanjang polis menjalankan tugas mereka, saya didatangi oleh beberapa orang yang saya kenali sebagai jamaah masjid dan surau sekitar Petagas dan Putatan. Semuanya hendak menghulur bantuan segera, menemankan pergerakan balik saya ke rumah atau menghantar ke Balai Polis Penampang dan sebagainya. Hasrat mereka itu saya ucapkan berbanyak terima kasih.

Semua urusan berkaitan laporan polis di Balai Polis Penampang (naik kereta polis), penghantaran kereta ke bengkel dan menyediakan dokumen hanya selesai hampir jam 12.30 tengahari. Terima kasih buat Sarjan Zainuddin Jahidin (foto bawah sekali) dan rakan-rakannya yang menjalankan tugas dengan baik. Dibantu oleh Sdr Suraip Hassan muazzin dari Masjid Kampung Lok Kawi Baru yang mengambil saya di balai, mengangkut keluar semua harta yang ada di kereta persona, seterusnya ke Lok Kawi – lokasi bengkel kereta kemudian menghantar saya ke rumah. Terima kasih saya ucapkan. Harapnya kereta boleh disiapkan sebelum hari raya.

Mujur beg pakaian sudah disediakan oleh isteri lebih awal. Saya hanya sempat bersalin baju, solat zuhur dan terus ke Terminal 1, KKIA dan terus masuk ke perut pesawat untuk penerbangan ke KLIA. Di pesawat, saya tidak mengambil masa yang lama untuk terlelap keletihan.

Saya hampir terlupa menghadiri seminar berkenaan yang diadakan di Dewan Besar, Dewan Bahasa & Pustaka Cawangan Sabah pada isnin lalu walaupun sudah mengesahkan nama mewakili Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah. Pada awal pagi saya menyertai pegawai JHEAINS menerima lawatan JAIS, tetapi sekitar jam 10 pagi saya bergerak ke Seminar Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Seminar dimulakan dengan pembentangan kertas kerja bertajuk “Konsep Akidah : Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah” yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi bin Hamat, Ketua Jabatan Akidah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Kemudian diteruskan dengan pembentangan kedua yang bertajuk “Ancaman Ke Atas Akidah Ummah” yang disampaikan oleh Ustaz Haji Zamihan bin Mat Zin, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).

Setelah melihat keperluan memahami aqidah yang sebenar, saya merasakan program ini sewajarnya diadakan secara bersiri apatah lagi pembentangan Ustaz Zamihan al-Ghari dirasakan terlalu singkat terutama apabila beliau hanya sempat menerangkan Syiah dan sebahagian berkenaan Wahabi. Selain itu, kehadiran boleh dikembangkan kepada lebih ramai pihak seperti wakil IPTA, IPTS, pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan (kerana ada jabatan hanya menghantar kakitangan biasa sahaja) pegawai kanan pasukan beruniform seperti PDRM dan ATM.

%d bloggers like this: