Kuliah kali ini dipimpin oleh Ustaz Awang Arifin Awang Kamaruddin dari Kuching Sarawak dan Ustaz Ikmal Zaidi Hashim dari Selangor. Kuliah-kuliah kali ini menyambung huraian-huraian penyakit jasmani yang terdahulu telah dihuraikan oleh pembimbing lepas dan seterusnya menghuraikan penyakit-penyakit sulit.

Kami dimaklumkan Ustaz Awang adalah pengerusi Darussyifa’ Cawangan Sarawak, beliau sedikit sebanyak suka bercerita pengalaman demi pengalaman yang telah mereka lalui khususnya dalam menubuhkan Darussyifa’ Sarawak serta perjalanan kuliah dan klinik mereka di Kuching. Sementara Ustaz Ikmal Zaidi adalah senior saya di Maahad Qiraat Shoubra Kaherah serta lepasan kuliah al-Quran Universiti al-Azhar Cawangan Tanta.

Nama beliau bagi kami harum di kalangan pelajar Maahad Qiraat khususnya kerana beliau adalah antara pelajar Malaysia terawal yang menyambung di kuliah al-Quran. Beliau juga adalah mursyid Imam Muda musim ke-2 tempoh hari dan kini bertugas sebagai pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Semoga perkongsian ilmu mereka memberi manfaat kepada kami semua.