Anakanda kedua kepada sahabat kami ini selamat dilahirkan sebelum subuh pada hari bersejarah 9 Julai 2011 lalu di Kota Kinabalu. Oleh kerana tarikh itu adalah suatu fenomena dan sejarah yang akan dikenang oleh generasi negara ini (bahkan juga mungkin dari luar negara), saya cadangkan nama Nazifah diberikan kepadanya.

Alhamdulillah, cadangan lewat facebook itu diterima baik oleh Sdr Nasr sekeluarga dengan sedikit penambahan – Nazifatul Husna. Semoga anak ini seperti lahirnya BERSIH dan berkekalan bersihnya sepanjang hayat dan menjadi insan yang BAIK, berbakti kepada orang tua dan masyarakatnya suatu hari nanti. Malam tadi, kami berziarah ke rumah mereka meraikan Nazifatul Husna dan saya sempat mentahnikkannya dengan cebisan tamar yang disediakan.