Archive for 24 Julai 2011


NUR SOFEA ZAHRAH

Sekalung tahniah kami sekeluarga ucapkan buat Norhayati Ahmad dan suami yang menimang cahayamata pertama mereka dua bulan lalu. Saya hampir terlupa untuk memuatkan foto kenangan mereka bertiga dalam kenduri kesyukuran yang kami hadiri di rumah mereka di Kg Muhibbah Baru Petagas tempoh hari. Majlis dilengkapkan dengan pelaminan bayi yang cantik tanda kegembiraan seluruh keluarga. Imam Qaryah Petagas, Imam Norisyam Pura memimpin kenduri kesyukuran berkenaan.

Mudah-mudahan kehadiran cahayamata sulung ini membawa seri kebahagiaan dalam rumahtangga. Tahniah juga buat semua ahli keluarga mereka kerana mendapat ahli keluarga yang baru. Mudah-mudahan keluarga ini diberkati Allah SWT.

Apabila saya maklumkan kepada anak-anak – Nuha, Hana dan Hadi – bahawa Bob Lokman akan datang ke Kota Kinabalu dan khususnya mengisi satu slot di Surau Riyadhus Solihin Taman Ausral, mereka semuanya beriya-iya mahu turut hendak berjumpa. Saya kira, watak Bob Lokman dalam drama ‘Zoo’ di Astro Ceria banyak mengingatkan mereka tentang Bob Lokman. Begitu juga dengan drama ‘Fatimah Juling’. Saya dimaklumkan oleh abang Bob Lokman malam itu bahawa itulah drama terakhir lakonannya sebelum berlepas ke Kedah tempohari.

Saya turut membaca buku tulisan beliau dan Ustaz Riduan Mohamad Nor bertajuk ‘Aku, Isabella dan Tok Kenali’ yang menceritakan tentang kehidupan beliau sejak zaman kecil, zaman rock kapak dan titik penghijrahan beliau sebagaimana yang ada kini. Maka saya membuat satu kesimpulan bahawa beliau sebenarnya kembali sebagaimana keadaan keluarganya yang asal. Beliau sudah teruji dalam sepak terajang dunia seni hiburan, berkawan rapat dengan ramai artis ternama tanahair tetapi buat masa ini Allah SWT memilih beliau dan beberapa orang lain untuk kembali ke pangkal jalan dengan asbab yang pelbagai.

Beliau pernah hidup dalam kemewahan dengan pendapatan puluhan ribu sebulan tetapi ketenangan hidup hanya dirasakan apabila beliau benar-benar kembali menjalani hidup sebagai seorang hamba Allah yang sebenar-benarnya. Oleh kerana beliau berasal daripada keluarga yang ‘mutadayyin’, maka apabila beliau tersilap langkah beberapa ketika, kemudian berpatah balik, saya kira ia tidak begitu sukar (walaupun tetap sukar) berbanding orang lain kerana beliau sudah mempunyai asas agama yang baik – keluarga, keturunan dan pendidikan agama.

Masa makan, saya bertanya kepadanya tentang persahabatannya dengan rakan-rakan artis. Katanya beliau rapat dengan ramai rakan artis ternama, tetapi kini semua SMSnya kepada rakan-rakannya tidak berbalas hatta walau sekadar bertanya khabar. Entah apa yang menghantui mereka, barangkali takut bisnes mereka terjejas dengan persahabatan dengan orang yang sudah balik ke pangkal jalan sepertinya apatah lagi Abang Bob sudah menyertai Parti Islam SeMalaysia sebagai wadah perjuangannya kini.

Saya terfikir, dengan kemahiran menulis lirik dan lagu yang dimiliki oleh Bob Lokman sehingga melahirkan lagu-lagu masyhur satu ketika dahulu, kenapa kemahiran itu tidak dimanfaatkan untuk Islam? Bukankah sangat baik kalau beliau terus menulis dan menghasilkan lagu-lagu perjuangan Islam, membangkitkan ruh aqidah dan akhlak Islami melalui seni lagu khususnya untuk tatapan anak-anak muda di negara kita? Mudah-mudahan beliau istiqamah di dalam perjuangan Islam.

%d bloggers like this: