Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru

Perkara berkaitan persediaan menghadapi Ramadhan.

Pertama, persediaan dari sudut iman dan taqwa. Orang beriman hakikatnya merindui kedatangan Ramadhan mengatasi rindu seseorang kepada kekasihnya. Sejak lama dia sudah berdoa agar diberikan kesempatan bertemu dengannya. Apabila bertemu Ramadhan, hatinya sangat gembira bukannya merungut dan menyesal.

Kedua, umat Islam mesti mempunyai persiapan ilmu. Iaitu ilmu yang berkait dengan puasa seperti syarat sah dan batal, rukun, sunat dan makruh, adab dan akhlak berpuasa. Begitu juga dengan ilmu-ilmu berkenaan hukum hakam yang berkaitan dengan solat berjamaah, iktikaf, tadarrus dan tilawah al-Quran, qiyamullail, lailatul qadar, sedekah, tarawih, dan sebagainya. Kena ingat, Ramadhan bukan sekadar puasa. Melaksanakan ibadah-ibadah di dalam bulan Ramadhan dan di luar Ramadhan mestilah dengan ilmu pengetahuan, bukan dengan sekadar semangat dan ikut-ikutan.

Ketiga, umat Islam mesti mempunyai persediaan dari sudut fizikal. Kesihatan yang baik membolehkan kita beribadah dengan selesa. Menjaga kesihatan termasuklah soal pemilihan dan penjagaan makanan, tidur yang cukup dan lain-lain. Orang yang bertenaga boleh bertahan membaca al-Quran, solat tarawih lengkap 20 rakaat, boleh qiamullail pada waktu sahurnya.

Keempat, persediaan dari sudut harta. Simpanlah sedikit pendapatan untuk bersedekah di dalam bulan Ramadhan. Sedekah seringgit di luar Ramadhan nilainya tidak sama di sisi Allah dengan sedekah seringgit di dalam Ramadhan. Bersedekahlah dengan memberi makan orang berbuka puasa, atau mewaqafkan sesuatu yang lebih berkekalan. Bahkan seorang isteri dan ibu yang berhalangan untuk puasa kerana haid atau nifas, tetapi menyediakan jamuan sungkai kepada suami dan anak-anaknya, maka dia juga dikira mendapat pahala seperti orang yang berpuasa juga.