Saya berbesar hati menerima pelawaan sahabat saya, Isa yang mengundang saya menyampaikan ceramah dan seterusnya membimbing sesi praktikal program Smart Solat bersama 30 siswa siswi Kolej MAHSA di 1Borneo, sepanjang pagi tadi. Saya dimaklumkan kolej ini baru beroperasi di Sabah beberapa bulan lalu dan belum mempunyai guru agama. Khabarnya guru agama akan dibawa masuk sedikit masa lagi.

Sekitar 9.15 pagi program kami bermula dengan sesi ceramah berkaitan solat. Foto-foto berkaitan pergerakan solat dipaparkan begitu juga dengan bacaan-bacaan wajib dan sunat, semuanya kami baca bersama-sama. Hanya barangkali keterbatasan masa, hasrat saya untuk menyemak bacaan seorang demi seorang tidak tercapai. Sesekali ayat yang dibaca dihuraikan agar mereka  memahami apa yang dibaca. Di akhir program, sesi praktikal solat subuh diadakan dengan mengambil kira pergerakan dan bacaan wajib dan sunat. Begitu juga sesi soal jawab yang merangkumi hal berkaitan bersuci.

Barangkali akan datang perlu dikemaskinikan lagi dengan slot berkaitan toharah dan ujian bacaan dalam solat. Terima kasih sebab mereka semuanya sporting dalam sesi smart solat kali ini.