Pertama.
Kurang 10 tahun lalu, sepupu saya yang pernah belajar di sebuah IPTS di Kota Kinabalu ada bercerita. Katanya rumah mereka di Grace Court yang mempunyai 3 bilik itu dihuni bercampur lelaki dan perempuan. Di salah satu bilik, ada dua pasangan lelaki dan perempuan yang belum berkahwin tinggal bersama-sama. Hairannya katanya, selalu juga pasangan itu bergaduh, tetapi masih tinggal bersama.
Kedua.
Saya dimaklumkan beberapa tahun lalu satu kes pasangan pelajar IPT yang bersekedudukan di sebuah rumah sewa di kawasan Sepanggar telah diserbu oleh pihak penguatkuasa agama. Saya kurang pasti tindakan lanjut kerana mendengar pihak pentadbiran IPT berkenaan mahu menyelesaikan di peringkat dalaman dan secara tertutup sahaja untuk menjaga aib mereka. Saya kira ia bukan kes pertama yang berlaku.
Ketiga.
Seseorang pemberi maklumat memaklumkan tentang kegiatan tidak senonoh, berkesedudukan dan bertukar pasangan pelajar IPT di satu penginapan mewah di Likas. Ia melibatkan pasangan beragama islam dan bukan islam. Maklumat ini juga sudah dimaklumkan kepada penguatkuasa agama dan mereka menanti masa untuk melakukan serbuan kerana kegiatan sumbang itu berlaku sesekali sekala.
Keempat.
Seorang bekas pensyarah sebuah IPTS di Kota Kinabalu memaklumkan saya kegiatan sumbang pelajar yang membawa masuk pasangan mereka secara senyap-senyap ke bilik masing-masing di Universiti Apartment. Rakan serumah perempuan berkenaan terkejut kerana sedarinya bangkit daripada tidur, dilihatnya rakannya sedang berzina di sebelahnya.
Kelima.
Seorang siswa membisikkan kepada saya kegiatan zina yang menjadi-jadi terutamanya pada hujung minggu atau musim cuti pengajian, apabila terdapat rakan-rakannya membawa pasangan balik ke rumah atau menempah hotel bajet di sekitar bandaraya Kota Kinabalu. Rakannya itu katanya mempunyai pasangan di luar, yang bukan siswi di IPT mereka.
Keenam.
Beberapa tahun lalu, sahabat baik saya menceritakan babak mencurigakan apabila siswi-siswi sebuah IPTS sering kelihatan dijemput oleh kereta-kereta mewah hampir setiap malam oleh orang luar. Kebetulan rakan saya ini tinggal berjiran dengan kawasan kampus IPTS berkenaan. Penginapan siswa-siswi juga lebih hingar bingar pada hujung minggu sehingga melewati tengah malam apabila mereka mengadakan party-party liar sesama mereka.
Yang jelas, kisah-kisah di atas melibatkan orang-orang pintar.