Hari ini saya menyelesaikan 15 siri rakaman tazkirah zuhur Ramadhan yang akan disiarkan melalui Sabah FM pada bulan Ramadhan nanti. Menurut penerbit rancangan berkenaan, Puan Rosnani rakaman berkenaan dijadualkan disiarkan selepas azan zuhur dan diulangsiar pada waktu subuh. Nama saya kononnya ditimbulkan oleh sahabat baik saya Ustaz Rahim Yahya selepas beberapa calon tidak bersedia. Asalnya penyampai tazkirah ini bergilir-gilir tetapi nampaknya seperti saya keseorangan saja.

Melakukan rakaman tazkirah, walaupun sebenarnya hanya sekadar 5 minit untuk satu siri, sebenarnya tidak semudah yang dijangka. Biasanya isi kandungan ditulis sebagai panduan, walaupun semasa rakaman ia biasanya ditokok tambah secara spontan supaya gaya penyampaiannya tidak kaku dan tidak kelihatan (kedengaran) dibaca.  Selain itu gaya penyampaian ala Sabahan juga sesekali dibuat supaya pendengar lebih selesa dan mesra. Penulisan dibuat agar tazkirah tidak terkeluar daripada topik yang hendak disampaikan.

Antara tajuk yang akan disiarkan nanti ialah berkaitan kesyukuran terhadap Ramadhan, mengenali Ramadhan, tuntutan solat berjamaah, keutamaan bersedekah, kelebihan waktu sahur, solat tarawih, serta beberapa huraian hadith yang berkaitan dengan Ramadhan. Insya Allah barangkali pada minggu pertama, rakaman kepada 15 siri berikutnya akan diadakan di studio yang sama. Jika sahabat-sahabat sekalian ada idea, bolehlah salurkan lewat blog atau facebook abu nuha. Yang bersesuaian akan kita kongsikan kepada pendengar Sabah FM nanti.