Archive for 20 Julai 2011


Hari ini saya menyelesaikan 15 siri rakaman tazkirah zuhur Ramadhan yang akan disiarkan melalui Sabah FM pada bulan Ramadhan nanti. Menurut penerbit rancangan berkenaan, Puan Rosnani rakaman berkenaan dijadualkan disiarkan selepas azan zuhur dan diulangsiar pada waktu subuh. Nama saya kononnya ditimbulkan oleh sahabat baik saya Ustaz Rahim Yahya selepas beberapa calon tidak bersedia. Asalnya penyampai tazkirah ini bergilir-gilir tetapi nampaknya seperti saya keseorangan saja.

Melakukan rakaman tazkirah, walaupun sebenarnya hanya sekadar 5 minit untuk satu siri, sebenarnya tidak semudah yang dijangka. Biasanya isi kandungan ditulis sebagai panduan, walaupun semasa rakaman ia biasanya ditokok tambah secara spontan supaya gaya penyampaiannya tidak kaku dan tidak kelihatan (kedengaran) dibaca.  Selain itu gaya penyampaian ala Sabahan juga sesekali dibuat supaya pendengar lebih selesa dan mesra. Penulisan dibuat agar tazkirah tidak terkeluar daripada topik yang hendak disampaikan.

Antara tajuk yang akan disiarkan nanti ialah berkaitan kesyukuran terhadap Ramadhan, mengenali Ramadhan, tuntutan solat berjamaah, keutamaan bersedekah, kelebihan waktu sahur, solat tarawih, serta beberapa huraian hadith yang berkaitan dengan Ramadhan. Insya Allah barangkali pada minggu pertama, rakaman kepada 15 siri berikutnya akan diadakan di studio yang sama. Jika sahabat-sahabat sekalian ada idea, bolehlah salurkan lewat blog atau facebook abu nuha. Yang bersesuaian akan kita kongsikan kepada pendengar Sabah FM nanti.

Majalah GEN-Q – Generasi al-Quran Kreatif

Manual Remaja Bertakwa

Majalah Gen-Q membawa remaja atau generasi baru agar sentiasa mengingati bahawa Islam itu benar dan al-Quran itu sebagai petunjuk jalan ke arah ketakwaan kepada Allah s.w.t. Motif penerbitan Gen-Q adalah untuk membimbing pembacanya bersama-sama menjadikan Islam sebagai jalan hidup.

Islam itu amat luas dan infiniti, namun zaman sekarang ia dibatasi oleh golongan yang tidak mahukan Islam dengan menanam benih sekular ke dalam jiwa generasi baru melalui hiburan dan keseronokan. Agama Islam pula dijadikan sebagai agama keturunan dan ibadat dianggap sebagai satu adat. Islam diasingkan daripada kehidupan seharian yang lama-kelamaan ada yang menganggap beragama itu sebagai lambang kekolotan.

Gen-Q tidak mahu sama sekali ini terjadi kepada jiwa-jiwa muda yang bakal menjadi pemimpin di masa hadapan. Dengan tawaduk, para penulis dengan sebulat hatinya menawarkan diri untuk menyampaikan ilmu dan tazkirah juga teks santai sebagai alternatif kepada bahan pembacaan terkini.

Majalah Remaja Terbaik!

Apa yang menarik dalam majalah Gen-Q?

Terbitan majalah terkini dan berkualiti daripada Telaga Biru Sdn Bhd ini meletakkan seratus peratus jalan Islam di dalam majalah Gen-Q. Kolumnis-kolumnisnya mempunyai latar belakang pendidikan Islam yang kuat dan mempunyai keazaman untuk membimbing generasi baru ke arah keredaan-Nya.

Antara yang menarik – Hikmatun Balighah, kolum yang mendekatkan diri generasi baru dengan al-Quran yang disertai tafsir mudah dan padat. Taman Hadis, kolum untuk memahami isi sesuatu hadis Rasulullah s.a.w. Novel Bersiri, sudut penulisan sastera yang Islamik. Uswah, kolum pelajar cemerlang yang menuntut di luar negara. Tanyalah Cikgu dan Tanyalah Ustaz, soal-jawab tentang psikologi pelajar dan juga kekeliruan dalam bab agama.

Al-Quran dan Sains, kolum tentang rahsia sains yang terkandung dalam al-Quran. Salafus Soleh, kisah sahabat yang boleh dijadikan teladan dalam mengharungi kehidupan seharian. Tip-tip, doa-doa, pengetahuan am, fiqah, amalan harian, tazkirah, motivasi dan pelbagai rencah dan rempah ratus yang mengisi ruang dalam majalah Gen-Q yang menjadikannya sebagai penyebab untuk pembaca memilikinya.

Selain itu, majalah Islamik ini digarap dengan foto serta ilustrasi yang amat menarik, sesuai untuk pembaca memahami sesuatu isu yang diketengahkan. Juga, disusuli penulisan satira dan kartun yang menggeletek hati tetapi mempunyai pengajaran dan manfaat daripadanya. Persembahan reka bentuknya pula menepati cita rasa kini.

Menjadi pelopor kepada majalah remaja Islamik

Sememangnya hajat penerbit yang mahukan dakwah menjadi teras kepada setiap apa yang diterbitkan, maka lahirnya majalah Gen-Q mengisi salah satu ruang yang masih kosong dalam bidang penerbitan majalah, iaitu pengisian Islami ke dalam jiwa remaja dan generasi baru.

Tidak boleh berkata tidak, setiap remaja yang dilahirkan Islam wajib istiqamah dalam pegangannya. Peranan ibu bapa dan pendidik pula adalah memastikan anak tanggungannya sentiasa mengikut rapat dalam lingkungan syariat Islam. Penerbitan majalah Gen-Q ini, dengan izin Allah, sebagai sekelumit bantuan kepada merealisasikan tanggungjawab ibu bapa dan pendidik itu untuk menjadikan mereka cemerlang di dunia dan akhirat.

Semoga hasil usaha team majalah Telaga Biru Sdn Bhd ini yang menerbitkan majalah Gen-Q – Generasi al-Quran Kreatif menjadi manual kepada kehidupan remaja dalam mengharungi kehidupan ke arah ketakwaan. Amin.

***

Di Wisma MUIS Kota Kinabalu, temui sahabat baik saya Sdr Azman Talib yang menjadi antara pengedar majalah berkenaan, Gen Q, majalah Solusi, majalah-majalah islamik yang lain dan pakaian muslimah untuk pelbagai umur. Gerainya ada di ruang legar blok A, Wisma MUIS berhadapan dengan Masjid Negeri Sabah. Hubungi beliau : 019-5315577.

%d bloggers like this: