Petikan kertas kerja yang dibentangkan oleh Ustaz Haji Muchlish :

Ibadah solat adalah ibadah pokok, tiang agama yang wajib ditunaikan oleh setiap ummat Islam, terutamanya yang telah mukallaf. Ibadah ini mempunyai waktu-waktu yang tertentu dan sangat dikehendaki supaya ianya dilakukan secara berjamaah. Oleh sebab itu sangat diperlukan satu cara supaya ummat Islam mengetahui masuknya waktu bagi setiap solat itu dan supaya mereka dapat serentak datang secara berjamaah. Cara pemakluman atau pemberitahuan itu pula belum disyariatkan walaupun kewajiban ibadah solat telah diperintahkan.

Maka Nabi SAW telah bermesyuarat bersama dengan para sahabat bagi membincangkan apa yang patut dilakukan untuk memaklumkan orang ramai berkenaan masuknya waktu solat itu. Dalam perbincangan itu, para sahabat telah mengajukan beberapa cadangan, antaranya :

Pertama, menaikkan bendera apabila masuk waktu supaya dilihat oleh orang ramai. Cadangan ini tidak diterima kerana orang yang sedang tidur dan yang terlalai tidak akan melihatnya. Kedua, sebahagian para sahabat mencadangkan supaya dihidupkan unggun api apabila setiap kali masuk waktu solat. Cadangan ini juga ditolak dengan alasan yang sama seperti cadangan yang pertama.

Ketiga, ada yang mencadangkan supaya ditiup trompet, supaya orang ramai mendengarnya. Nabi SAW tidak mempersetujuinya kerana kaedah itu mengikut cara orang-orang Yahudi. Sedangkan Nabi SAW tidak suka mengikut cara orang-orang Yahudi walau dalam apa cara sekalipun. Keempat, di kalangan sahabat ada yang mencadangkan supaya dibunyikan loceng. Cara ini turut tidak dipersetujui Nabi SAW kerana kaedah itu mengikut cara orang-orang Nasrani.

Kelima, sahabat lain pula mencadangkan supaya diadakan seruan atau dilantik orang-orang tertentu yang bersuara dari tempat yang agak tinggi untuk memanggil orang ramai dan memaklumkan bahawa waktu solat telah masuk. Cadangan ini diterima oleh Rasulullah SAW dan kemudiannya dilantik beberapa orang sebagai tukang seru itu, antaranya Abdullah bin Zaid al-Anshoriy.

Pada waktu malam, di antara tidur dan jaga, Abdullah bin Zaid didatangi oleh seseorang lalu berkata kepadanya : “Mahukah engkau aku ajarkan beberapa ayat (kalimat) yang boleh engkau gunakan untuk menyeru orang ramai menunaikan solat?” Abdullah bin Zaid menjawab : “Tentulah aku mahu”. Kata orang itu lagi : “Engkau bacalah : “Allahu akbar (2x) ..” dan seterusnya.

Apabila Abdullah terbangun, maka ia pun pergi bertemu dengan Rasulullah SAW dan memaklumkan baginda berkenaan mimpinya. Nabi SAW memaklumkan bahawa itu adalah mimpi yang benar. Kemudian Nabi SAW memerintahkan Abdullah supaya mengajarkan kalimah-kalimah azan itu kepada Bilal bin Rabah kerana Bilal adalah seorang sahabat yang mempunyai suara yang kuat dan merdu berbanding Abdullah.

Ketika Bilal sedang mengumandangkan azan, tiba-tiba Umar RA datang sambil menyeret selendangnya. Dia memberhentikan Bilal yang sedang azan sambil berkata kepada Rasulullah SAW : “Demi Allah, sesungguhnya aku juga bermimpi seperti ini wahai Rasulullah SAW”. Maka sejak itu, bermulalah  diamalkan azan untuk menandakan masuknya waktu solat dan menyeru orang ramai agar sama-sama menunaikan solat berjamaah. Peristiwa ini telah berlaku pada tahun pertama hijrah.