Kepuasan sebenarnya tergambar di wajah saya setelah selesai Seminar Azan anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah yang diadakan pada sepanjang siang sabtu lalu bermula jam 8 pagi sehingga jam 3.30 petang di Bilik Kuliah 2. Kehadiran seramai 212 peserta mengatasi sasaran minima saya (seramai 200), walaupun kami bertungkus lumus menyediakan jumlah kerusi yang lebih banyak daripada itu. Malahan sekiranya kehadiran melepasi 250 orang, kami akan mengubah lokasi ke dewan utama solat.

Sebenarnya sudah lama kursus anjuran Syukbah Dakwah tidak dibanjiri peserta yang ramai seperti kali ini. Beberapa siri kursus ‘Tahsin Solat’ hanya dihadiri dibawah garis 100 orang, bahkan pernah kehadiran dicatatkan dibawah 50 orang sahaja. Barangkali kelemahan itu kami letakkan di pundak kami sendiri kerana kegagalan menyebarkan maklumat seluas mungkin. Hanya bergantung dengan iklan yang ditampal di papan kenyataan Masjid Negeri dan pengumuman sebelum azan solat jumaat nampaknya belum memadai. Bahkan promosi melalui facebook dan blog juga kurang berkesan.

Hanya apabila surat disampaikan secara manual – serahan tangan – kepada imam atau pengerusi masjid / surau kepada lebih 100 masjid dan surau sekitar Putatan, Kota Kinabalu dan Sepanggar menyatakan jemputan kami kepada mereka, nampaknya strategi itu lebih berkesan. Jelas saya perhatikan pimpinan masjid dan surau menghargai undangan kami bahkan mereka berbesar hati melihat kepala surat tercatat Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah yang dianggap satu pengiktirafan kepada mereka sendiri, maka mereka datang beramai-ramai melebihi had yang kami cadangkan untuk setiap masjid dan surau.

Hanya promosi cara sebegini – menghantar surat-surat langsung ke masjid surau – memakan masa yang lama dan meletihkan. Saya sendiri meminta bantuan rakan-rakan bergilir-gilir menemankan saya meronda masjid dan surau semampu yang saya dapat. Saya menjadi pemandu – kerana kebanyakan lokasi masjid dan surau memang saya ketahui, sementara yang membantu saya menulis alamat surat dan meletakkannya di sajadah imam. Hasilnya majoriti masjid dan surau memberikan respon dan menghantar wakil-wakil mereka.

Kehadiran yang ramai sebenarnya lebih bermakna dengan ilmu yang mereka kutip hasil bimbingan Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim yang membentangkan ceramah pertama bertajuk ‘Azan : Sejarah Pensyariatan, Hukum Hakam dan Adab’. Tujuan peribadi saya ialah, apabila ramai peserta terutama muazzin datang ke seminar ini, saya mengharapkan ganjaran yang tidak putus daripada Allah SWT kerana meski saya tidak menyampaikan ceramah, saya berharap usaha yang sedikit kami menganjurkan seminar ini dilihat sebagai satu amal jariah, memanjangkan ilmu yang ada daripada penceramah.

Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok selaku penceramah kedua juga tidak menghampakan. Sesi pertamanya sebelum zuhur, membimbing dan bertalaqqi bacaan solawat tarawih. Beberapa peserta juga diuji bacaan solawat mereka dan menariknya suasana bersolawat itu menggamit perasaan rindu kepada ibadah solat tarawih dan bulan Ramadhan itu sendiri khususnya kepada peserta yang beramai-ramai bersolawat memecahkan suasana di Bilik Kuliah berkenaan.

Sementara selepas zuhur, peserta dibimbing dengan asas lagu azan sekaligus membetulkan kesilapan fasohah yang berlaku. Beberapa peserta juga diuji dan diperbetulkan. Pada sesi akhir pula diadakan soal jawab melibatkan kedua-dua panel sebelum majlis penyampaian sijil. Terima kasih buat kedua-dua pembimbing, ajk syukbah serta beberapa individu yang banyak membantu menjayakan seminar ini. Saya merancang untuk melebarkannya ke daerah lain pula selepas ini.