Dalam meronda ke sana ke mari sekitar dari Lok Kawi sehingga ke Sepanggar, baru saya tahu rupanya ada masjid yang pernah saya kunjungi dan solat di dalamnya satu ketika dulu kini sudah tiada lagi. Pertama kami berziarah ke kampung Bakau, sebuah perkampungan yang dirobohkan dan hanya tinggal sedikit saja rumah yang berbaki. Ketika kemuncak perobohan rumah di sana, masjid masih ada tetapi tempohari sudah tiada lagi.

Kami meneruskan perjalanan ke lorong dalam lagi. Satu kampung yang dipanggil Kampung Lembaga Padi. Saya tertinggal maklumat rupanya kampung ini sudah hampir musnah 100 peratus. Hanya rumah Allah ini yang tinggal dan sunyi sepi tanpa penghuni. Katanya penduduk di sini kebanyakannya adalah pendatang asing (sama ada izin atau tanpa izin) kerana di sini menjadi lokasi serbuan pihak berkuasa. Tetapi saya yakin adanya masjid di sini menunjukkan majoriti mereka adalah beragama Islam dan azannya selalu berkumandang di celah corong pembesar suara masjid.

Tetapi kini ia ditinggalkan sunyi sepi.