Bersemangat saya mendengar ceramah beliau di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral khamis malam jumaat lalu. Tuan Haji Kamarudin Abdullah yang berasal dari Pulau Pinang adalah bekas penganut Kristian Katolik dan memeluk Islam pada tahun 1988. Sejak tahun 1995 beliau memimpin sebuah NGO bernama Islamic Propagation Society International (IPSI) yang beribu pejabat di Pulau Pinang.

Ayat utama dalam ceramah beliau ialah daripada surah al-Anfal ayat ke-3 : ” Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

Betapa lalainya manusia apabila selalu tertipu dengan kesenangan dunia, tertipu dengan hiburan yang bertentangan dengan Islam. Betapa manusia hakikatnya terlalu kerdil dan lemah di hadapan tuhannya. Bahkan beliau membuktikan dengan makhluk Allah yang lain seperti jenis-jenis burung kecil dari Alaska ke New Zealand yang mampu terbang tanpa henti 9 hari 9 malam dengan ketinggian 35 ribu meter dari aras laut merentasi negara dan benua tanpa sebarang peta, radar, GPS dan seumpamanya.

Siapakah yang mengajar burung kecil ini untuk terbang dan mengetahui tempat ditujuinya tanpa sebarang peralatan? ALLAH! Wahai hamba-hamba Allah, insaflah dan tunduklah kepada Allah SWT. Layari web rasmi http://www.ipsi.com.my/ dan berilah sokongan kepada pergerakan ini untuk menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk negara dan dunia.

p/s : Saya suka istilah beliau : “Muslimin muslimat yang dikasihi Allah lagi disayangi Nabi”