Khatib : Imam Haji Edinin Mujib

Lokasi : Masjid Bandaraya Kota Kinabalu

Kerja merupakan tanggungjawab dan amanah. Manusia perlu bekerja untuk menyara diri dan keluarga.  Bukan itu sahaja, ianya adalah tanggungjawab untuk memajukan dunia. Kerja adalah untuk menyempurnakan amanah terhadap diri, ahli keluarga, sesama makhluk dan terhadap Pencipta. Kehidupan kerja selamat perlu dihayati dan diamalkan. Dalam sebuah Hadithnya Nabi SAW bersabda, yang bermaksud: “Kemalangan berpunca daripada 3 perkara: Kuda, perempuan dan rumah.”. (HR Bukhari Jld.3 1305).

Pekerja perlu tahu punca dan akibat kemalangan. Di mana, kemalangan yang berlaku di tempat kerja adalah berkaitan dengan pengabaian keselamatan dan kecuaian pekerja itu sendiri sehingga mengakibatkan kematian, kecacatan dan kecederaan. Bukan itu sahaja, aspek kesihatan di tempat kerja juga perlu dihayati dan diamalkan, di mana pekerja yang terdedah kepada risiko-risiko bahaya yang mengancam kesihatan mereka yang mana kesannya hanya akan dapat dilihat dalam jangka masa yang panjang iaitu setelah pekerja itu bersara.

Oleh itu, para pekerja perlu tahu yang mereka mesti bekerja di persekitaran selamat dan sihat supaya pengamalan kerja selamat dapat dihayati dengan sepenuhnya. Para majikan mesti memainkan peranan dalam pengamalan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Apa yang penting, aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu dilihat daripada pelbagai dimensi, kerana setiap kerja yang dijalankan akan menimbulkan risiko dan bahaya kepada kesihatan. Ia termasuk isu keselamatan dan kesihatan yang berbangkit pada era ini seperti penyalahgunaan dadah dan alkohol di tempat kerja, keselamatan sekolah dan keganasan di tempat kerja.

Kehidupan kerja selamat akan dapat diperolehi dengan beberapa kaedah iaitu bekerja mengikut prosedur kerja selamat serta patuh kepada peraturan keselamatan. Pekerja hendaklah peka dan patuh kepada peraturan keselamatan dan peraturan kerja yang berkaitan di tempat kerja. Pekerja hendaklah juga menjauhi perbuatan yang tidak selamat dan sentiasa mengamalkan ‘Budaya Kerja Selamat dan Sihat’ di tempat kerja.