Ceramah selepas solat zuhur rabu di Masjid Negeri Sabah, kali ini giliran Ustaz Haji Abu Hurairah Abdul Rahman, seorang pendakwah yang terkemuka di Sabah dan di Malaysia. Tajuk yang saya cadangkan untuk beliau sampaikan ialah berkaitan dengan sejarah Masjidil Aqsa, – iaitu masih dalam slot-slot berkaitan peristiwa besar al-Isra’ wal-Mikraj.

Selesai ceramahnya yang sangat menarik itu, beliau didekati oleh seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Adam Abdullah berasal dari negara Itali. Di sisinya ada seorang anak lelaki yang lincah, berumur sekitar 4-5 tahun. Mereka berbual dalam bahasa inggeris, nampaknya sangat ramah dan mesra sekali.

“Ustaz kenal saya?, katanya. Ustaz terdiam.

“6 tahun lalu, ustaz telah islamkan saya di pejabat USIA”.

“Kamu adalah muslim yang baik”, kata ustaz. Adam telah berkahwin dengan seorang wanita berasal dari Inanam dan kini menetap di Itali. Beliau pulang untuk menziarahi keluarga di sini. Ustaz mempelawanya untuk datang ke pejabatnya dan berbual panjang berkenaan perkembangan Adam semenjak pengislamannya.