Sumber : http://muhdkamil.org/blog/

Di UiTM kami mengajar siswa-siswi untuk menguruskan event. Misalnya, jika mahu mengadakan ceramah agama, merekalah yang akan menyediakan kertas-kerja memohon bajet, menguruskan tempat, mencari penceramah dan menyediakan makan-minum. Ada juga program agama yang diurus sepenuhnya oleh pihak universiti. Dua hari lepas saya mendapat khabar bagaimana seorang pelajar menghubungi penceramah terkenal untuk dibawa ke UiTM Segamat. Penceramah tersebut bertanya,

“Awak mampu ke tidak untuk panggil saya…..”

Benar, kini ceramah agama merupakan satu industri besar. Saya sendiri pernah berhubung dengan seorang penceramah dalam urusan yang sama. Saya bertanya, “Ustaz, berapakah yang perlu kami bayar…”.

Jawapannya sangat tertib, “saya tidak menjual agama tetapi kebiasaannya saya dibayar RM1000 hingga RM1500″.

Berceramah sebagai satu kerjaya atau punca sumber pendapatan sangat-sangat berbeza dengan berdakwah. Namun kerjaya itu pula adalah satu ibadat jika dilakukan dengan cara yang betul. Isu ini sangat menarik untuk dibahaskan. Misalnya, seorang penceramah yang melihat bayaran sebagai faktor utama pilihannya, sanggup membatalkan ceramahnya di satu tempat yang telah dipersetujuinya akibat menerima tawaran yang lebih lumayan. Ia tidak sepatutnya berlaku. Apatah lagi jika mereka terdiri daripada golongan yang berilmu.

Dalam soal ini, pandangan saya agak mudah. Mereka yang menubuhkan syarikat untuk berdakwah maka layanan yang sama harus diberikan sebagaimana wujudnya syarikat-syarikat perniagaan yang lain. Jika isu utamanya soal bayaran, maka perbincangan dan persetujuan di antara syarikat dengan pengguna atau pembeli produk perlu mencapai kata sepakat. Jika katanya RM3000, jika tidak bersetuju maka pilihan berada di tangan pengguna atau pembeli.

Namun berdakwah dalam Islam mempunyai manualnya yang tersendiri. Perhatikan ayat 20 dan 21 surah Yaa Siin,

“Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu. Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayat petunjuk”

Dalam konteks yang berbeza, saya berkali-kali dihubungi oleh pegawai sebuah syarikat untuk menghadiri kursus anjuran mereka dengan percuma. Malah mereka sanggup memberi beberapa keistimewaan tertentu sehingga ke majlis makan malam bersama Perdana Menteri. Soalan saya mudah, “adakah ini usaha dakwah atau apa?”

“Tidak, kami bukan badan dakwah tetap sebagai training provider”

“Lalu apa bezanya dengan sebuah syarikat lain yang memberi percuma sesuatu ketua jabatan dalam usaha mendapatkan kontrak atau supaya menyalurkan bajet latihan kepada syarikat tersebut. Adakah itu bukan sebahagian daripada rasuah?”

Mudah-mudahan Allah menerima segala apa yang kita lakukan sebagai satu amal ibadat. Dan ia berperaturan!