Kuliah kali ini pada sabtu dan ahad dibimbing oleh Ustaz Zulkifli Zainon dan Ustaz Zakaria Nasiruddin dari Darussyifa’ Perak. Semakan saya di beberapa web dan blog rasmi Darussyifa’ mendapati Darussyifa’ Perak adalah antara yang aktif dan mereka mempunyai tidak kurang 10 buah klinik di seluruh negeri. Jadi, kehadiran pembimbing kuliah kali ini dengan diselitkan pengalaman-pengalaman mereka mentadbir persatuan, menangani pesakit dan seumpamanya sangat membantu kami dalam menggerakkan Darusyyifa’ Sabah yang baru berusia beberapa bulan.

Seperti biasa program bermula dengan kuliah selepas solat fardhu maghrib, solat isyak dan bersambung dengan sesi berikutnya. Program pagi ahad bermula dengan sesi majlis zikir sekitar sejam sebelum disambung dengan kuliah sehingga lewat petang. Program malam ahad dimulakan dengan sesi talaqqi ruqyah asas yang kedua sebanyak 13 item dipimpin oleh Ustaz Zulkifli, yang juga setiausaha Darussyifa’ Perak.

Saya tertarik dengan penjelasan awal Ustaz Zul bahawa sangat perlu kepada perawat agar melakukan rawatan dengan cara yang halal dan menjauhi perkara yang haram. Termasuk dalam kategori ini ialah ruqyah, kaedah, penggunaan bahan serta cara-caranya mestilah semuanya halal dan suci, bukan haram atau syubhah. Ustaz mengingatkan cara mendapatkan bahan juga mesti dengan cara yang halal, bukan haram (seperti mencuri, menipu dan sebagainya). Sudah tentu perkara yang paling penting ialah kesucian dan kebersihan hati para perawat sebelum merawat orang lain.

Antara rawatan penyakit jasmani yang dihuraikan dalam kelas kali ini ialah demam panas, selsema, penyakit kulit, sakit kepala, sakit sendi, penyakit-penyakit berkaitan mata (seperti mata merah, berair, rabun, tahi mata berlebihan, buta seluang, mata dimasuki bendasing atau benda tajam dan mata sakit kerana sihir) dan sakit perut. Terima kasih atas ilmu yang dicurahkan oleh kedua-dua pembimbing kali ini.