Setinggi penghargaan kami sekeluarga ucapkan kepada pihak Nisa Putatan dan para doktor dari Negeri Pahang yang bertungkus lumus menjayakan program ‘Kaunter Pemeriksaan Kesihatan Percuma’ yang diadakan di perkarangan rumah kami di kampung Meruntum pada hari sabtu ‘Bersih’ tempohari. Saya dimaklumkan sekumpulan doktor tersekat di tengah jalan akibat terlalu banyak halangan ‘roadblock’ oleh pihak PDRM kerana kononnya ura-ura perhimpunan ‘Bersih’ turut diadakan di Kota Kinabalu (yang sebenarnya tiada pun).

Program asal sebenarnya dijadualkan bermula jam 9 pagi dan berakhir pada jam 12 tengahari, bagaimanapun hanya bermula jam 10.30 pagi kerana halangan yang saya sebutkan tadi. Ada dua kebimbangan di hati saya. Pertama, oleh kerana program ini pertama kali diadakan, saya risaukan reaksi dan jumlah kehadiran penduduk kampung. Maklumat hanya diedarkan pada petang jumaat kepada penduduk kampung khususnya melalui hebahan di corong masjid sebelum azan jumaat dan risalah ‘handbill’ rumah ke rumah hasil bantuan anak-anak yang mengaji di rumah kami.

Kedua, sesudah sejam menanti rombongan doktor perubatan yang belum kunjung tiba sementara kelibat orang kampung mula datang seorang demi seorang, saya akhirnya tertidur. Jam 10.30 saya terbangun semula, saya lihat orang kampung sudah berbaris dan mula mendaftarkan nama. Dalam masa berkenaanlah pasukan perubatan tiba. Penduduk kampung tidak kira kanak-kanak, remaja, orang dewasa, lelaki dan perempuan datang mendaftar nama dan menanti giliran sehingga program berakhir sekitar jam 1 tengahari.

Sebenarnya empat orang doktor bertugas di dua lokasi, dua di rumah kami dan dua lagi di Pekan Putatan. Kami dimaklumkan rombongan mereka sebenarnya bercuti di Sabah dan mereka menawarkan diri untuk mengadakan aktiviti kesukarelawanan ini di beberapa lokasi dan ubat-ubatan yang asas diperolehi dari Farmasi Aslam. Saya hargai tenaga dan masa percutian mereka yang sebahagiannya dikorbankan untuk masyarakat. Terima kasih Dr Harison, Dr Roihan, Dr Norazlin dan Dr Edahwati serta rombongan mereka yang lain.

Semoga bertemu lagi dan hanya Allah yang mampu membalas budi baik semuanya yang terlibat. Saya melihat kebaikan program ini dan ia perlu diadakan di lokasi-lokasi lain lagi terutama kepada penduduk kampung yang susah. Saya mengalu-alukan sumbangan para doktor dan pakar-pakar kesihatan untuk menjayakan program seumpama ini.