Archive for 11 Julai 2011


UNTUNG IESYATIR RADHIAH

Lima tahun lalu, kakaknya Auni Syuhrah juga ditahnikkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika beliau berkunjung ke Sabah. Kali ini si adik yang baru lahir tiga bulan lalu, Iesyatir Radhiah pula ditahnikkan oleh tokoh ulama’ yang sama. Tahniah buat orang tuanya, Ustaz Mad dan Ustazah Atiyah. Beruntung anak-anaknya.

Ibadah tahnik adalah antara amalan yang disyariatkan dalam ugama Islam ketika menyambut kelahiran seorang bayi. Meski ibadah ini sudah dilakukan sejak zaman Rasulullah SAW, tetapi saya lihat ia kurang dipraktikkan di tempat kita. Maka itu saya suka memasukkan foto ibadah tahnik melalui blog ini sebagai suatu promosi kepada umat Islam yang kurang dan tidak mengetahuinya.

Khatib : Ustaz Haji Ibrahim Kisab

Lokasi : Masjid Negeri Sabah

Aman bererti bebas daripada sebarang bentuk ancaman yang mengganggu-gugat keharmonian hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara.  Ini bermakna, keamanan yang rakyat dan negara kita kecapi hingga ke hari ini bukan sahaja perlu disyukuri dan dihargai, malah perlu dipelihara dan dipertahankan oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira agama, kaum, keturunan dan fahaman politik. Ia dikira sebagai satu kewajipan memandangkan keadaan yang aman membolehkan kita melakukan pelbagai urusan kehidupan tanpa merasa takut, bimbang, resah, sangsi dan sebagainya.

Oleh hal yang demikian, melakukan sesuatu perkara atau kegiatan yang boleh memudaratkan keharmonian serta kerukunan hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara adalah sangat dilarang kerana ia boleh menjejaskan keamanan, keselamatan  dan kestabilan negara.  Antara tindakan atau perkara yang boleh menimbulkan kesan tidak baik kepada kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara termasuklah menyebarkan ajaran serta fahaman yang bercanggah dengan syariat Islam, tunjuk perasaan bersifat provokatif dan liar, menanam kebencian terhadap sesuatu agama atau kaum, menyebar fitnah  dan lain-lain lagi. Mereka yang terbabit dengan tindakan-tindakan atau perkara seumpamanya dianggap melakukan perbuatan khianat terhadap agama, bangsa dan negara.

Dan, mereka yang sanggup serta tergamak mengkhianati agama, bangsa dan negaranya sendiri adalah golongan pelampau dan musuh dalam selimut.  Kita selaku umat yang cintakan keamanan dan menitikberatkan soal keharmonian hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara hendaklah sentiasa berwaspada terhadap tindak-tanduk golongan berkenaan supaya tidak terpengaruh dan terperangkap dengan cakap serta ideologi mereka yang mengelirukan.  Langkah ini selaras dengan nasihat yang diberikan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud:  “Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada bersikap pelampau, maka sesungguhnya umat sebelum kamu dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama.” (HR. Ahmad).

%d bloggers like this: