Archive for 8 Julai 2011


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Putatan mengorak langkah ke hadapan apabila pejabat mereka dirasmikan pada petang isnin oleh Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam satu majlis yang sederhana tetapi penuh bermakna dan bersejarah. Pejabat PAS Putatan mula beroperasi sejak awal tahun 2011 di kawasan strategik di Kompleks Asia City, di tengah-tengah bandaraya Kota Kinabalu.

Dalam ucapan perasmiannya, Tuan Guru menyatakan bahawa kehadiran PAS di bumi Sabah sejak 25 tahun lalu adalah untuk memenuhi tuntutan Islam, iaitu menyeru kepada kebajikan, menyuruh yang baik dan mencegah kemungkaran serta menyambung perjuangan yang dilakukan oleh para Nabi AS sehinggalah kepada Rasulullah SAW menyebarkan Islam. Ini bermakna kumpulan Islam mestilah memenuhi tajuk Islam itu sendiri yang merangkumi segala aspek. Sementara sebarang tindakan memisahkan ajaran Islam dengan mengamalkan sebahagian dan meninggalkan sebahagian ajaran yang lain adalah termasuk amalan yang tidak sempurna dan mengikut jejak langkah syaitan.

Rasulullah SAW katanya telah menunjuk ajar bagaimana melaksanakan Islam yang menyeluruh itu bermula dengan mengajak orang kepada Islam sehinggalah mendirikan negara dan kerajaan, menjadikan politik sebagai sebahagian daripada kerja-kerja Islam. Para Nabi AS terlibat dalam politik, sama ada sebagai pemerintah seperti Nabi Sulaiman, Nabi Daud, Nabi Yusuf dan Nabi Muhammad SAW atau menjadi penentang kepada kerajaan yang zalim seperti Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Harun dan lain-lain.

Dalam suasana hari ini katanya PAS mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk bukan Islam di seluruh negara. Begitu juga para penjawat awam yang menjadi ‘api dalam sekam’ kepada pemerintah yang menyedari bahawa mereka diperalatkan untuk kepentingan UMNO dan Barisan Nasional. Para pendukung PAS katanya hendaklah terus gigih bekerja walaupun berhadapan dengan ujian yang getir daripada mereka yang bencikan kebangkitan Islam.

Terdahulu YDP Kawasan Putatan, Dr Nuruddin Ibrahim menyatakan bahawa PAS Putatan (dahulunya PAS Tanjung Aru) telah didaftarkan pada tahun 1997 dan disahkan rasmi pada tahun 2000 dan kemudian bertukar nama kepada PAS Putatan sempena persempadanan semula. Berkenaan bangunan hari ini katanya  adalah antara usaha YDP yang lalu Cikgu Abdul Hamid Abu Bakar. Perbincangan dilakukan pada bulan Oktober 2010 dan pada bulan Januari 2011 bangunan ini berjaya dibeli hasil dukungan para penyumbang termasuk ahli dan penyokong PAS dengan bayaran pendahuluan sebanyak RM157,000 dan berbaki RM157,000 lagi yang dibayar secara bulanan.

Tajuk Asal : Pengangkutan awam, nilai masyarakat dan pengalaman pagi ini.

Sumber : http://abdnaddin.blogspot.com/

Berapa umurmu?

Saya lebih 60 tahun.

Tengok IC!

Perempuan tua itu menunjukkan kad pengenalannya.

Ini baru 62 tahun! Belum 65, kata konduktor bas itu.

Barangkali kerana tidak mahu kecoh, perempuan tua itu membayar tambang lima puluh sen.

Mahu free saja, kata konduktor itu.

Syarikat bas itu, satu-satunya syarikat bas yang dibenarkan beroperasi pusat bandaraya Kota Kinabalu dipuji kerana tidak mengenakan bayaran kepada warga tua yang menaiki bas mereka. Tetapi sikap konduktor yang tidak sopan itu agak memalukan.  Saya fikir, dia boleh meminta bayaran tambang itu secara baik. Walaupun orang yang dimintanya agar menunjukkan mykad itu, jelas warga tua, namun sikap konduktor yang sebegitu tidak boleh ditoleransi.

Saya fikir majikan atau pemilik syarikat pengangkutan awam di negeri ini wajar meningkatkan kualiti pengangkutan awam di negeri ini. Bukan itu saja, mereka juga hendaklah memastikan pekerja mereka seperti konduktor dan pemandu bas agar lebih beretika dan berdisiplin. Saya sering menggunakan pengangkutan awam di ibu negeri. Di Terminal Wawasan, selain keadaan terminal yang menyedihkan itu, yang berlubang-lubang, yang berlumpur, yang seperti kurang dipedulikan itu, sikap konduktor bas atau bas mini, meski tidak semua, perlu dibaiki.

Ada diantaranya mengenakan pakaian yang tidak sesuai, berselipar Jepun, malah meneriaki penumpang. Ada diantara pemandu bas pula yang suka membawa bas mereka secara sembarangan. Malah baru-baru ini, ketika acara Jom Heboh, ada penunggang motosikal yang menjadi mangsa langgar lari oleh pemandu bas yang tidak manusiawi. Sudah sampai masanya Kementerian Pengangkutan khususnya LPKP, JPJ, DBKK dan sebagainya menguatkuasakan peraturan dan undang-undang bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini.

Kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini, tidak syak lagi, perlu ditingkatkan. Kita mahu lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan awam di ibu negeri, bagi mengurangkan kesesakan dan pencemaran, tetapi bukan dengan kualiti perkhidmatan yang ada sekarang. Saya juga berfikir bahawa meningkatkan mutu perkhidmatan tidak semestinya dengan menaikkan tambang sehingga membebankan pengguna.

Setiap kali saya melihat pelancong di terminal itu, saya berharap agar mereka tidak melihat keadaan terminal kita. Saya berharap agar mereka tidak membawa cerita yang bukan bukan mengenai kualiti pengangkutan awam kita. Saya berharap mereka tidak menaiki bas yang pemandunya laju tak menentu, yang konduktornya bersikap kasar atau tidak sopan kepada penumpangnya. Ketika konduktor yang menyebalkan itu bertanya kepada perempuan tua yang kebetulan duduk di sebelah saya, sebenarnya saya mahu menegur kelakuan yang tidak sepatutnya itu.Tapi saya khuatir tidak dapat menahan sabar dengan sikap konduktor yang kelihatan cuba menunjukkan kuasanya sebagai konduktor.

Betapa ramai orang yang ingin menunjukkan kuasa mereka. Konduktor yang masih muda belia itu mahu menunjukkan kuasa, sedikit kuasa yang ada padanya, meskipun terpaksa mengherdik warga tua. Saya fikir masyarakat kita terlalu kuat obsesinya terhadap kuasa. Pemandu bas ingin menunjukkan kuasa, konduktor ingin menunjukkan kuasa, PBT ingin menunjukkan kuasa, kementerian ingin menunjukkan kuasa, penumpang ingin menunjukkan kuasa, orang-orang ingin menunjukkan kuasa, juga orang-orangan ingin menunjukkan kuasanya.

Tapi perlukah kita bersikap kasar dalam menunjukkan kuasa? Saya fikir pihak berkuasa perlu menguatkuasakan kuasanya untuk menertibkan orang-orang agar tidak menyalahguna kuasa atau menunjukkan kuasa kepada golongan yang tidak berdaya. Seperti warga tua yang sepatutnya diberikan kemudahan tambang percuma untuk menaiki bas pengangkutan awam. Di negara-negara maju yang lain, golongan warga tua diberikan kemudahan tambang percuma, atau potongan harga jika menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Tidak perlulah kita meminta dengan kurang sopan untuk dia mengeluarkan kad pengenalan bagi memastikan berapa usianya. Apatah lagi di depan penumpang lain yang begitu ramai, jika sekadar tambang lima puluh sen. Siapapun dia, saya fikir nilai-nilai menghormati orang yang lebih tua, tidak sepatutnya hilang dalam masyarakat kita.

%d bloggers like this: