Saya meyakini dan diajar bahawa masjid dan surau bukan semata-mata untuk tempat solat sahaja. Berdasarkan sirah nabawi, masjid juga berfungsi sebagai pusat pentadbiran, pusat pentarbiahan dan pendidikan dan pelbagai lagi aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda.

Justeru usaha Nisa’ Kawasan Putatan memanfaatkan Masjid Nurul Hikmah Kg Pasir Putih ahad lepas bagi menjayakan Program Khidmat Kesihatan sangat dialu-alukan. Walaupun kehadiran hanya sekitar 50 orang yang datang mendengar ceramah kesihatan serta menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma, bagi saya ia satu permulaan yang sangat baik dan perlu diteruskan.

Dakwah bil hal, dengan akhlak yang mulia dan bantuan kebajikan seperti khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma ini perlu diperkembangkan dan dipelbagaikan kepada masyarakat di kampung-kampung, taman-taman perumahan. Bagi saya ia sangat menyentuh perasaan bagi mereka yang susah, tetapi menderita sakit. Begitu juga mereka yang zahirnya sihat tetapi berpeluang memeriksa tekanan darah, berat badan serta gula dalam badan.

Hanya teknikalnya saja perlu diperbaiki seperti promosi serta tarikan masyarakat untuk hadir perlu difikirkan bersama agar ia dapat dimanfaatkan sebaiknya. Terima kasih kepada JK Masjid atas keizinan dan kerjasama mereka, para doktor yang menyumbang tenaga serta semua sekali yang terlibat. Hanya Allah yang mampu membalasnya.