Archive for 6 Julai 2011


Saya meyakini dan diajar bahawa masjid dan surau bukan semata-mata untuk tempat solat sahaja. Berdasarkan sirah nabawi, masjid juga berfungsi sebagai pusat pentadbiran, pusat pentarbiahan dan pendidikan dan pelbagai lagi aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda.

Justeru usaha Nisa’ Kawasan Putatan memanfaatkan Masjid Nurul Hikmah Kg Pasir Putih ahad lepas bagi menjayakan Program Khidmat Kesihatan sangat dialu-alukan. Walaupun kehadiran hanya sekitar 50 orang yang datang mendengar ceramah kesihatan serta menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma, bagi saya ia satu permulaan yang sangat baik dan perlu diteruskan.

Dakwah bil hal, dengan akhlak yang mulia dan bantuan kebajikan seperti khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma ini perlu diperkembangkan dan dipelbagaikan kepada masyarakat di kampung-kampung, taman-taman perumahan. Bagi saya ia sangat menyentuh perasaan bagi mereka yang susah, tetapi menderita sakit. Begitu juga mereka yang zahirnya sihat tetapi berpeluang memeriksa tekanan darah, berat badan serta gula dalam badan.

Hanya teknikalnya saja perlu diperbaiki seperti promosi serta tarikan masyarakat untuk hadir perlu difikirkan bersama agar ia dapat dimanfaatkan sebaiknya. Terima kasih kepada JK Masjid atas keizinan dan kerjasama mereka, para doktor yang menyumbang tenaga serta semua sekali yang terlibat. Hanya Allah yang mampu membalasnya.

Ketika pertama kali datang berceramah di sini beberapa tahun lalu, kehadirannya boleh dibilang dengan jari sahaja. Bagaimanapun saya tunaikan amanah berceramah ketika itu walaupun jamaahnya sedikit. Tempohari, ada peningkatan. Walaupun tidak beratus-ratus jumlahnya, tetapi ia tetap ada penambahan jamaah yang hadir, tambah lagi turut serta kaum ibu dan anak-anak muda, yang jumlah hadirnya kali ini mungkin menghimpun jumlah jari tangan dan kaki untuk 4-5 orang.

Saya diminta mengisi slot ceramah isra mikraj dengan laras bahasa tempatan brunai bagi mendekatkan kefahaman dan memesrakan jamaah. Alhamdulillah ceramah berlangsung sejam setengah dan diakhiri dengan jamuan makan yang menyelerakan. Saya tersenyum apabila ibu-ibu menunjukkan tukang masa mereka yang bekerja keras sejak awal untuk menjayakan majlis. Mudah-mudahan semuanya mendapat pahala atas amal kebaikan masing-masing.

%d bloggers like this: