Archive for 4 Julai 2011


ANAK-ANAK BUAH

Melihat wajah orang tua adalah berpahala apatah lagi jika melihat mereka dengan penuh kasih sayang. Kadang-kadang rasa sesal selalu menguasai fikiran saya kerana jarang pulang ke kampung yang jarak perjalanannya cuma 2 jam kenderaan darat dan 30 minit menaiki bot laju. Barangkali ‘menyalahkan’ program yang bertindih dan bertimpa-timpa sangat tidak wajar saya jadikan sebabĀ  ketidakpulangan ke kampung.

Saya rasa seronok sekali kalau dapat pulang walaupun hanya sehari dua, bertemu orang tua, adik beradik serta anak-anak buah yang semakin ramai dan membesar. Kadang-kadang saya terlupa nama penuh dan umur mereka, memandangkan anak-anak buah sudah menjangkau dua puluh orang. Itu belum lagi dikira anak-anak buah daripada sebelah isteri dan kalangan sepupu yang entah berapa ramai jumlahnya.

Sesekali memerhatikan dan melayan anak-anak buah asyik bermain, bergembira di hujung minggu bersama keluarga masing-masing sementara saya tidak mampu duduk lama kerana ada program menanti selepas itu. Sambil balik kampung, bukan bercuti sepenuhnya, tetapi ada pertemuan dengan ummat untuk mengisi dada dan jiwa dengan iman dan islam. Memang kewajiban kita banyak berbanding masa yang ada. Manfaatkanlah sebaik-baiknya.

Tahniah kepada pihak berkuasa di Labuan atas daya usaha membina sebuah surau di bandar Labuan, di Jalan Merdeka, satu laluan dan tidak jauh dengan Terminal Feri Antarabangsa Labuan. Surau dinamakan Surau Nurul Islam dikontraktorkan kepada Syarikat Lupak Enterprise bagaimanapun masih belum siap walaupun tarikh siap tertulis jun 2011. Sebelum kalimat ‘jun’ itu ada tercatat nombor kosong, apakah 10 jun, 20 jun atau 30 jun.

Mudah-mudahan terbinanya surau ini akan memudahkan umat Islam yang berurusan di sekitar bandar dapat menunaikan solat fardhu khususnya secara berjamaah dan syiar azan solat fardhu berkumandang serta dapat menghalau syaitan-syaitan yang berkeliaran di sekitar bandar. Maklumlah di hadapan surau berkenaan, berderet premis-premis menjual arak. Begitu juga premis-premis judi, kelab malam dan urut yang berkembang di sana.

Ya Labuan Pulau Bebas Cukai.

%d bloggers like this: