Tajuk asal : Penyalahgunaan mimbar masjid untuk menyelamatkan parti yang mendalangi kemungkaran amat dikesali
Kenyataan: Dato’ Tuan Guru Haji Harun Taib, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Kuala Lumpur, 3 Julai 2011 – Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Yb. Dato’ Tuan Guru Haji Harun Taib menyifatkan tindakan UMNO-BN yang mendalangi penyalahgunaan mimbar masjid untuk survival kepentingan parti itu adalah sebagai tidak bertanggungjawab dan amat dikesali. Kekesalan tersebut diluahkan ketika mengulas laporan terdapat masjid di Kuala Lumpur yang seolah-olah menjadi lidah kepada pihak kerajaan untuk survival politik sempit parti pemerintah.
Apa yang mendukacitakan apabila dilaporkan bahawa UMNO bukan sahaja mendalangi mimbar masjid untuk kepentingan mereka bahkan tanpa segan silu mentafsirkan nas hadis dan pandangan para ulama mengikut selera mereka dan di luar konteks yang sebenar.
Berdasarkan teks khutbah yang disiarkan di dalam laman web JAWI (http://www.jawi.gov.my), mereka telah memberikan tafsiran yang salah terhadap petikan kata-kata salah seorang Imam di dalam mazhab As-Syafie iaitu Imam Abi Ishak Al-Juwayni yang seolah-olah mengharamkan perhimpunan yang memudaratkan kepentingan umum. Dato’ Tuan Guru Haji Harun Taib menyifatkannya sebagai istidlal (penghujahan) yang tidak bertanggungjawab. Ini adalah kerana istidlal (penghujahan) tersebut ditujukan kepada pengharaman penentangan yang dizahirkan kepada kerajaan yang telah pun melaksanakan hukum Islam yang adil.
Pihak yang menyediakan teks ini sewajibnya faham bahawa kata-kata al-Imam Juwainy itu merujuk kepada kerajaan Islam dan bukannya kerajaan yang zalim dan melakukan maksiat seperti kerajaan UMNO-BN sekarang, apatah lagi menghalang perlaksanaan Islam. Dibawah kerajaan Islam yang adil maka ketaatan mesti diberikan sepenuhnya tanpa menimbulkan sebarang kemudaratan kepada masyarakat dan Negara sebagai usaha menyokong keadilan.
Ujar beliau lagi “ Tidak melaksanakan Islam adalah kemungkaran yang besar, serta menjadi kewajiban kepada rakyat untuk menegur dan menasihati pemerintah supaya meninggalkan kemungkaran samada melalui tangan, mulut dan hati yang sesuai dengan kemaslahatan ummah”
Menurut beliau lagi, BERSIH merupakan mekanisme yang digunakan secara aman dan berkesan supaya pengendalian pilihanraya di Negara ini dilaksanakan dengan lebih adil dan telus sepertimana tuntutan Islam yang sebenar. Ianya tidak ada kena mengena dengan pemberontakan dan apa sahaja istilah yang dimomokkan oleh pihak UMNO-BN di dalam media.
Adapun hujah mereka yang menggunakan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bazzar, Dato’ Tuan Guru Haji Harun Taib menyifatkan sebagai istidlal (penghujahan) yang ditafsir di luar konteks yang sebenar sepertimana diterangkan sebelum ini. Hadis-hadis yang menceritakan pengharaman penentangan kepada kerajaan adalah merujuk kepada kerajaan Islam yang adil dan bukannya kerajaan yang zalim dan melakukan kemungkaran seperti UMNO-BN seperti sekarang apatah lagi menentang perlaksanaan Islam.
Sementara itu , setiausaha Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya yang dihubungi oleh pihak web DUPP turut meluahkan rasa terkilan terhadap apa yang berlaku. Beliau sendiri turut mendengar khutbah tersebut berkata “Ianya satu perkara yang memalukan , saya berasa amat kesal dengan tindakan yang tidak professional ini.. apatah lagi ianya dibaca di atas mimbar yang sangat mulia.”
Ujar beliau lagi “ apa yang lebih mendukacitakan lagi nas-nas atau dalil-dalil syarak telah ditafsikan luar daripada konteksnya yang sebenar”. Tetapi beliau percaya bahawa rakyat sudah matang dalam membuat keputusan dan tahu membezakan diantara hak dan batil. Perjuangan untuk menegakkan keadilan insyaAllah pasti akan membuahkan hasilnya walaupun pelbagai sekatan dan hasutan dilakukan.