Entah kenapa sejak sebulan lalu saya tergerak balik ke Labuan dan menempah tarikh 1-3 Julai. Saya maklumkan pada sahabat-sahabat di Labuan agar mengatur beberapa program ceramah di sini. Saya pula sudah lama tidak balik, ini kali pertama tahun ini. Kepulangan bersama hero kami Abdul Hadi, memandu 2 jam ke Menumbok dan kemudian naik bot laju menuju Labuan. Rupanya 2 Julai adalah ulang tahun mama ke-62. (Apa punya anak daa..)

Kebetulan kepulangan saya, adik-beradik yang ada menganjurkan makan tengahari sekeluarga seterusnya menyambut ulangtahun beliau bersama anak cucu di sini. Suasana meriah di sebuah restoran seafood di pusat bandar Labuan. Kasihan melihat beliau yang semakin uzur, tambah lagi sejak pertengahan tahun 2002 beliau diserang penyakit strok dan beliau tidak pulih sepenuhnya sehingga kini.

Malam tadi, saya urut-urut kakinya, katanya sakit. Memang beliau sudah mampu berjalan tetapi terlalu perlahan dan agak takut. Tutur katanya susah difahami kerana sudah mulut herot sebelah tetapi kami tahu beliau suka bercerita apatah lagi dengan anak menantu dan cucunya, tambahan lagi seperti kami yang duduk berjauhan. Namun dia masih gagah untuk memasak, memotong ikan dan sayur bersama seorang lagi makcik kami yang juga uzur di rumah ini.

Insya Allah kasih sayang kami anak menantu serta cucu berkekalan untuk beliau dunia akhirat. Meskipun beliau selalu sakit-sakit, kami tetap mendoakan kebahagiaannya bersama Nenek Aji selama-lamanya.