Archive for 1 Julai 2011


Suatu malam kami makan-makan di gerai berhampiran di Asia City setelah lewat malam berbincang dan menyusun perjalanan aktiviti dakwah termasuk berkenaan mereka yang ada di dalam foto di atas. Ia sebahagian sasaran dakwah kita sebenarnya, kata seorang kawan. Kami bakal menyusun aktiviti mendekati mereka agar kembali ke landasan Islam kerana mengakui bahawa sebahagian besar mereka adalah saudara seaqidah kita sendiri.

Malam itu mereka lebih ramai berbanding biasa. Sahabat kami Ustaz CB yang berjubah menyapa mereka yang sedang minum-minum di gerai berhampiran : “Haii.. “. Lalu seorang di kalangan mereka menjawab : “Assalamualaikum..”

Kami tersenyum sendiri. Bantulah kami mendekati dan merubah mereka balik ke pangkal jalan.

Saya mengambil jalan yang sedikit sukar dan rumit untuk mengendalikan Seminar Azan anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah 16 Julai nanti, dengan menghantar sendiri surat-surat undangan ke seluruh masjid dan surau sekitar Putatan, Kota Kinabalu hingga ke Sepanggar yang dalam rekod saya jumlahnya tidak kurang 115 buah (setakat ini).

Berdasarkan pengalaman lalu, apabila program atau kursus syukbah dakwah hanya ditampal lewat papan kenyataan masjid negeri atau pengumuman sebelum azan jumaat, atau melalui blog / fb sahaja, kesannya agak kurang berbanding jika surat undangan dihantar terus ke masjid atau surau yang berkenaan. Kami teringat respon beberapa wakil masjid surau di kampung-kampung satu ketika dahulu yang berbesar hati menerima surat undangan tertulis masjid negeri sabah. Ternyata respon dan kehadirannya sangat memberansangkan.

Saya pernah buat kaedah ini 2 kali ketika syukbah dakwah menganjurkan kursus pengurusan solat tarawih 4-5 tahun lalu, di mana kehadiran sesak dan terpaksa diadakan dua kali untuk keselesaan audien. Kali ini saya lakukan cara yang sama dengan meronda masjid dan surau terbabit. Walaupun saya boleh meletakkan surat-surat itu di pejabat JHEAINS daerah berkenaan, dan meminta pegawai di sana menghubungi masjid-surau berkenaan, saya ingin mendedahkan pengalaman kepada sukarelawan yang saya bawa, mengenalkan mereka masjid-surau yang ada dari Putatan hingga ke Sepanggar.

Namun demikian itu tidak semudah yang disangka kerana jumlah masjid surau yang banyak tidak mampu diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Sebahagian kecilnya terpaksa dikirimkan melalui rakan-rakan yang hampir dengan lokasi masjid surau berkenaan. Bahkan sehingga artikel ini ditulis masih ada lagi yang belum dihantar. Menarik juga oleh kerana sesetengah surau masjid sudah lama tidak dikunjungi, apabila datang baru diketahui masjid atau surau berkenaan sudah diganti baru atau berubah wajah dan sebagainya.

Mudah-mudahan kerja-kerja ini diberkati oleh Allah SWT.

%d bloggers like this: