Saya mencadangkan antara permainan yang baik untuk diketengahkan kepada anak-anak ialah permainan lego ini. Sejak 7-8 bulan lalu saya membelikan mereka permainan ini dan melihat kreativiti mereka sendiri. Nuha, Hana, Hadi malahan Lu’lu’ yang baru 3 tahun itu suka permainan ini. Saya meletakkan syarat kepada mereka bahawa permainan ini tidak boleh dibawa keluar dari bilik, kerana ia kecil dan mudah hilang. Selain itu isteri saya menyediakan kotak untuk mereka mengemas selepas selesai membuat reka bentuk yang mereka inginkan.

Anak-anak memang sukakan pujian. Setiap kali mereka menunjukkan kreativiti membina sesuatu, saya puji mereka sekadarnya. Mereka pula mensyaratkan kepada saya agar hasil kerja mereka digambar. Setakat ini syarat tidak boleh keluar dari bilik itu mereka penuhi kecuali sekali dua. Hasilnya, baru-baru ini saya tambahkan lagi koleksi lego mereka supaya mereka puas bermain dan lebih banyak rekaan dapat mereka buat. Saya rasa berbaloi kerana ia meningkatkan daya fikir mereka walaupun membeli lego yang original.