Kredit foto : http://albashirah.com/

Kerja-kerja dalam Syukbah Dakwah Masjid Negeri semakin hari semakin banyak dan bertimbun berbanding beberapa tahun kebelakangan ini. Dahulu, aktiviti tertumpu pada hujung minggu apabila ada kursus-kursus tertentu. Itupun hanya beberapa kali setahun. Selain itu ada jadual kuliah maghrib dan subuh yang sudah ditetapkan pembimbingnya.

Setahun dua ini, dan makin galak pada tahun ini aktiviti anjuran Syukbah Dakwah semakin banyak. Kursus hujung minggu masih berterusan, ditambah lagi dengan kuliah selepas isyak, seperti aqidah, fekah, tasauf, al-Quran dan pengubatan Islam. Kudrat aktivis Syukbah Dakwah juga ditagih membantu Tabung Haji dalam mengatur kursus haji setiap tahun, penglibatan dalam perjalanan kelas Darussyifa’ Sabah dan bermacam-macam lagi. Sejak februari lalu, tazkirah zuhur setiap rabu dimulakan dengan menampilkan penceramah-penceramah sekitar Kota Kinabalu bergilir-gilir. Ini belum lagi mengira kesibukan dalam mengatur program dalam bulan Ramadhan nanti.

Memikirkan kerja-kerja pengurusan dan keurus setiaan yang semakin berat, apatah lagi di kalangan aktivis Syukbah Dakwah hampir kesemuanya bertugas tidak sepenuh masa dengan hambatan tugas di jabatan dan agensi masing-masing (walaupun tidak sedikit masa dicurahkan untuk Syukbah Dakwah), kami memutuskan untuk mencari seorang sukarelawan dakwah untuk membantu meringankan kerja-kerja berkenaan dengan sedikit elaun bulanan akan diberikan.

Antara kriteria yang ditetapkan adalah seperti berikut :

1) Lelaki berumur 18 tahun keatas dan tinggal di sekitar Kota Kinabalu (lebih hampir dengan Masjid Negeri lebih baik);

2) Berminat dengan kerja-kerja dakwah terutama yang membabitkan masjid (kelulusan tidak semestinya dalam pengajian Islam tetapi itu dikira satu kelebihan);

3) Mahir dalam penggunaan asas komputer dan internet (mempunyai laptop dan broadband sendiri adalah satu bonus);

4) Bersedia tampil ke khalayak (seperti menjadi pengacara majlis) dan sanggup bertugas pada waktu malam atau hujung minggu (terlibat sebagai urus setia dalam program, mesyuarat dan perjumpaan).

Tawaran ini adalah segera dan jika berminat sila maklumkan kepada saya melalui blog ini atau facebook dan bertemu dengan saya untuk ditemuduga bersama dokumen yang munasabah dan berkaitan.