Khatib : Ustaz Haji Abu Hurairah Abdul Rahman

Lokasi : Masjid Negeri Sabah

Antara perkara yang berlaku setelah kepulangan Nabi SAW dari Isra’ dan Mikraj ialah terjadinya pelbagai tuduhan terhadap baginda SAW seperti Nabi SAW berbohong tentang perjalanan isra dan mikraj. Ini kerana menurut kebiasaan bangsa Arab, pelayaran dan perjalanan antara Makkah menuju ke Palestin memakan masa berhari-hari.

Namun kepada para sahabat baginda seperti Abu Bakar As-Siddiq dan lain-lain mempercayai percakapan, perbuatan dan iktikad Nabi SAW adalah suatu kewajiban kerana baginda adalah seorang Rasul tanpa mengambil kira masa itu logik atau tidak. Sementara dunia hari ini dengan teknologi moden hakikatnya boleh menerima sesuatu pergerakan dengan lebih pantas sebagaimana kenderaan hari ini dicipta oleh manusia.

Ini menunjukkan kepada kita bahawa dalam keadaan apa pun wajib kita beriman dan meyakini kebenaran Rasul SAW walaupun barangkali ia sukar diterima akal manusia. Ini kerana Allah SWT telah mengiktiraf Rasul-Nya dengan mengundang bertemu dengan-Nya, sesuatu yang tidak berlaku keatas nabi-nabi yang lain. Allah SWT juga menujukan panggilan kepada baginda dengan gelaran Nabi dan Rasul menerusi al-Quran, tidak sebagaimana nabi yang lain dipanggil dengan nama mereka sendiri, seperti Allah berfirman ‘wahai Adam’, ‘wahai Musa’, ‘wahai Isa’.