Archive for 23 Jun 2011


LURUSKAN PARKIR

Alangkah indahnya kalau semua pengguna memanfaatkan dengan baik dan betul kawasan-kawasan parkir yang disediakan. Islam mengajar kita agar memudahkan urusan dan tidak menyusahkan orang lain. Ketika kawasan parkir semakin penuh, kerjasama pemilik dan pengguna kenderaan sangat diharapkan.

 

Suatu ketika, saya bersama kawan-kawan tiba di satu lokasi @ masjid untuk mengisi program yang sudah diatur bersama. Kepada penganjur, saya ada mencadangkan agar maklumat program diumumkan sebelum azan solat jumaat kerana ceramah dijadualkan pada malamnya nanti. Setiba kami jam 6.40 petang, masjid yang cantik ini masih bergelap walaupun waktu maghrib sudah masuk hampir 10 minit lalu.

Tiada kelibat imam, bilal atau jamaah masjid kecuali setelah jam 6.45 petang. Imam datang relaks menemui saya sambil jarinya menyepit sebatang rokok yang berasap. “Hari inikah ustaz datang? Kami ingatkan semalam. Hari ni tiada orang ustaz.. kalau semalam ustaz datang memang ramai”, saya terpaksa menerima hakikat mereka tersalah informasi antara ‘malam jumaat’ dengan ‘jumaat malam’ walaupun saya telah jelaskan agar iklankan program sebelum azan jumaat. Walaubagaimanapun, saya kesal melihat masjid terbiar lengang. Ertinya kalau tiada program khas, tiadalah jamaah, padahal solat berjamaah itulah programnya.

Selepas solat maghrib berjamaah bersama mereka – semua sekali lima orang -, kami bergerak perlahan-lahan menaiki kereta, melalui kepekatan malam di beberapa buah kampung berhampiran. Kami melimpasi beberapa masjid dan surau yang berstatus sama – hampir kosong, hampir tiada jamaah berada di dalamnya kecuali seorang dua. Di satu sisi, kami bertembung beberapa kali anak-anak muda yang melepak dalam samar kegelapan itu, mereka tersilau dengan cahaya lampu kereta yang saya pandu.

Pada mulanya saya fikir orang-orang kampung di sini barangkali lebih selesa berada di rumah masing-masing bersama keluarga memandangkan suasana yang sunyi sepi walaupun jam baru menunjukkan sekitar jam 7 malam (awal maghrib). Tetapi apabila tiba di kawasan pekan, kami melihat ratusan orang (kalaupun tidak ribuan) memenuhi kawasan gerai-gerai makan. Ada menu sayap ayam, sate, dan bermacam-macam lagi. “Oh, di sini mereka berjamaah!”, saya menyimpulkan pemandangan kami saat waktu menghampiri isyak.

Wahai umat islam, wahai para pendakwah, wahai para ustaz ustazah, wahai para imam, rupanya tugas kita masih banyak lagi. Bukannya tugas belum selesai, tetapi mungkin belum bermula. Saya bimbang kalau ombak kuat menerjang kawasan gerai berkenaan, menghanyutkan manusia yang hanyut dengan dunianya.

%d bloggers like this: