Archive for 22 Jun 2011


PRAKTIKAL RAWATAN

Pengajian kelas perubatan Islam (KPI) anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah setiap ahad malam isnin bagi musim pertama sudah hampir ke penghujungnya. Pembimbing, Ustaz Nik Anwar Zakaria sudah mendedahkan banyak perkara berkaitan termasuk hal-hal aqidah, syariat serta ruqyah-ruqyah yang perlu dihafaz oleh semua perawat.

Terlalu banyak ilmu yang diperolehi terutama adab-adab seorang perawat (muallij),  serta kaedah merawat yang betul. Setelah melalui siri-siri pengajian, para penuntut juga diuji dan ditasmik hafazan mereka oleh naqib-naqib yang telah dipilih. Ahad malam isnin lalu pula diadakan sesi praktikal rawatan sambil pemantauan dilakukan oleh Ustaz Nik Anwar sendiri. Beberapa pesakit (yang benar-benar sakit) datang untuk diruqyah oleh para pelatih.

Secara praktikalnya pula, ia nampaknya memberi pengalaman baru dan menarik. Sesetengahnya, meruqyah secara berkumpulan apatah lagi pesakit yang agak ‘keras’ reaksinya. Kadang-kadang ada yang buntu apabila berhadapan dengan pesakit yang agresif, tidak tahu soalan apa yang hendak ditanya kepada jin berkenaan (walaupun sudah diajar dalam kuliah). Yang pentingnya pengalaman kali ini memang menarik sekali.

Usrah bulanan di quarters bank negara kali ini lebih istimewa berbanding yang lain. Kehadiran yang lebih ramai dan mengundang tetamu dari luar, justeru menu jamuan yang turut istimewa dan pelbagai. Lokasinya pula dipindah ke aras bawah, kawasan perkarangan quarters mereka yang lebih santai dan terbuka. Sudah lama saya tidak ke sini, dan saya suka sekali komitmen penduduk quarters yang datang turun beramai-ramai bersama keluarga masing-masing mendengar pengisian bulanan dan kali ini disampaikan oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim.

Tajuk yang diminta adalah berkaitan memelihara aqidah. Ustaz memulakan bicaranya dengan membaca dan menghurai sepotong wahyu Allah daripada surah Ibrahim bermaksud : “Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah seumpama sebatang pohon yang baik, pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran)”.

Ustaz menghurai dengan baik sekali ayat berkenaan dan mengatakan bahawa orang Islam yang istiqamah melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran bertitik tolak daripada kefahaman aqidah yang sahih. Ia  meyakini Allah SWT sedang melihatnya, malaikat sedang mencatat pergerakannya serta akan ada satu hari pembalasan pada hari kiamat kelak. Justeru kata ustaz, amal yang dilakukan oleh orang beriman mesti berpandukan ilmu agar perbuatan, perkataan dan niatnya benar-benar berdasarkan hukum Allah.

Dalam masa yang sama, seperti mana pokok yang selalu dihinggapi makhluk perosak, maka umat Islam juga mesti berhati-hati agar segala keyakinan, percakapan dan perbuatan tidak mencacat dan merosakkan aqidah. Para ulama sudah menulis dan menghurai perkara-perkara yang menyebabkan rosaknya aqidah atau batalnya syahadah dan keimanan seseorang yang wajib diketahui oleh orang beriman. Bak kata ustaz, aqidah mesti dijaga dan dibaja.

%d bloggers like this: