Archive for 21 Jun 2011


JALANAN KUNDASANG

Alhamdulillah, jalanraya di Pekan Kundasang kelihatan semakin baik dan berkualiti. Sebelum ini ia menjadi cerita umum bahawa jalanraya di hadapan gerai-gerai sekitar Pekan Kundasang memang bermasalah sejak dahulu lagi. Tanah yang mendap dan membahayakan pengguna jalanraya terutama bagi mereka yang tidak biasa menggunakan laluan tersebut. Begitu juga laluan ke Masjid Pekan Kundasang dan hotel-hotel di atasnya sangat cantik sekali.

Kesempatan berziarah ke Kundasang dan Ranau tempohari agak menggembirakan apabila melihat pembaikan jalanraya sudah hampir selesai. Barangkali hanya beberapa hal lagi yang perlu dibereskan. Hanya saya tidak berkesempatan berziarah lokasi kampung yang selalu kami kunjungi – kampung Dumpiring Atas dan sekitarnya yang khabarnya terbabit dalam kejadian tanah mendap beberapa bulan lalu.

p/s : kini khabarnya war memorial di Kundasang pula menjadi isu di sana.

Saya mendapat pengalaman manis apabila berkongsi sedikit ilmu dengan para guru di SMK Tebobon. Jarang sekali dapat kesempatan untuk mengisi slot bersama guru yang menjadi pesertanya. Kebiasaan yang diadakan di sekolah-sekolah ialah guru menjadi pengiring atau mengawasi para pelajarnya. Saya pun kurang maklum sebab saya yang dipilih mereka untuk mengisi slot atas tajuk ‘Mudahnya Solat’, sedangkan saya bukan aliran syariah ketika belajar dahulu. Namun undangan itu saya pandang positif sahaja untuk saya sama-sama turut menimba pengalaman.

Ada beberapa perkara saja yang sempat saya sentuh dalam ceramah sejam itu dan sesetengah perkara tidak dapat dikupas dengan lebih mendalam kerana keterbatasan masa. Hanya benar kata Ustaz Ezry, perkara berkait fardhu ain seperti solat ini memerlukan pengajian yang panjang dan tidak memadai sekadar sejam itu sahaja. Bimbang-bimbang ada yang disalahfahami kerana kurang dihuraikan akibat keterbatasan masa.

Mudahnya solat saya bentang daripada beberapa segi. Contohnya pakaian solat yang paling minima ialah suci dan menutup aurat. Tidak ada peraturan mewajibkan jenis kain tertentu, harga standard tertentu, warna tertentu, atau corak tertentu. Ini lebih mudah berbanding orang yang hendak masuk persatuan tertentu wajib mempunyai pakaian seragam tertentu, untuk masuk dalam sesuatu majlis istiadat wajib mempunyai warna pakaian tertentu.

Begitu juga daripada segi tempat, masa, kaedah solat dan sebagainya sudah ditetapkan oleh Islam dengan cara yang boleh dilakukan oleh seorang hamba-Nya. Allah SWT sudah tentu mengetahui kemampuan hamba-Nya dengan menetapkan lima waktu tertentu dengan kadar rakaat yang sedikit berbanding perintah awal solat sebanyak 50 waktu dalam peristiwa isra dan mi’raj. Demikian juga orang yang sakit boleh solat dengan cara duduk, atau berbaring menurut peraturan tertentu.

%d bloggers like this: