Kunjungan ke daerah Sipitang kali ini untuk program ceramah memberi maklumat baru kepada saya. Saya barangkali ‘ketinggalan keretapi’, bahawa sejak 9 tahun lalu rupanya sudah diwujudkan Kelas Pengajian Tahfiz pada hujung minggu di daerah Sipitang. Maklumat ini disampaikan oleh sahabat saya, Tuan Imam Pengiran Kamaruddin ketika bertemu dengannya di Masjid Daerah Sipitang.

Sebenarnya saya sangat tertarik dengan kelas ini memandangkan antara cita-cita saya ialah mewujudkan kelas seumpama ini walaupun hanya dalam bentuk hujung-hujung minggu, kelas malam atau musim cuti persekolahan. Kepada beberapa sahabat dan pegawai di jabatan juga pernah saya luahkan hasrat ini apatah lagi saya sendiri pernah dicadangkan dan diminta oleh sahabat-sahabat untuk mengasas dan menggerakkannya.

Kelas Pengajian Tahfiz hujung minggu di Sipitang menurut Imam Pengiran kini mempunyai hampir 90 orang pelajar dengan kemampuan lima orang pembimbing termasuk dirinya sendiri. Ia adalah cetusan idea Ybhg Datuk Haji Yusuf Kasim, Presiden Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS). Bangunan kelas terletak bersebelahan dengan masjid daerah, dengan jadual bermula pada setiap selasa, jumaat dan ahad antara jam 6.30 petang hingga 8.30 petang termasuk kewajiban solat berjamaah.

Saya melihat anak-anak berumur majoritinya antara 4-12 tahun dengan yuran hanya RM10 sahaja sebulan (tidak termasuk RM30 untuk yuran pakaian seragam) sangat bersesuaian dengan kemampuan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka. Dalam tempoh singkat (2 jam sekali pertemuan) ia diisi dengan latihan solat berjamaah maghrib dan isyak dan kelas hafazan antara waktu maghrib dan isyak dan selepas solat isyak hingga jam 8.30 malam.

Saya difahamkan pembahagian kelas sekurang-kurangnya empat atau lima kelas. Kelas pertama umur 4-6 tahun, kelas kedua umur 7-9 tahun, kelas ketiga 10-12 tahun. Mereka dibimbing menghafaz surah-surah lazim dan juzu’ 30 terlebih dahulu, dan mana-mana pelajar yang agak pantas hafazannya serta sudah menghabiskan juzu’ 30 akan memasuki kelas khas untuk hafazan juzu’ yang lain pula. Satu perkara yang membanggakan menurut Imam Pengiran, kesemua pelajar tahfiz ini yang memasuki sekolah menengah mendapat tawaran yang baik dan menyambung pelajaran menengah di luar daerah.

Masa yang terbatas kerana saya perlu hadir mengisi satu program ceramah menyebabkan tidak dapat bersembang panjang dengan Imam Pengiran untuk mendapatkan lebih maklumat. Insya Allah saya bercita-cita untuk menggerakkannya di Kota Kinabalu. Harap sahabat-sahabat boleh membantu. Kepada penganjur kelas tahfiz daerah Sipitang, tahniah saya ucapkan semoga mereka istiqamah dalam mendidik anak-anak menghafaz al-Quran.