Apa kaitan foto di atas dengan entri ini?
1.

Ketika saya bertugas di Masjid Negeri Sabah, saya seringkali melihat kelibat seseorang jamaah yang sangat konsisten dalam solat berjamaah. Dia seorang ahli korporat yang saya ketahui memang sibuk tetapi menjadualkan dirinya untuk solat berjamaah hampir setiap waktu kecuali jika beliau keluar bermusafir atas urusan perniagaannya.

Selain kegigihannya solat berjamaah, tiap kali saya ternampak beliau di tangga naik masjid, tiap kali itulah beliau memasukkan sejumlah duit ke tabung di tepi tiang. Kadang-kadang, kalau bukan dalam perjalanan naik, beliau memasukkan sedekahnya ke tabung itu sebelum pulang. Demikianlah tiap kali saya ternampak beliau (walaupun beliau tidak ternampak saya), tiap kali itu juga konsisten dalam sedekahnya.

2.

Individu kedua ini seorang muallaf sejak hampir 10 tahun lalu tetapi kefahaman dan beramal dengan Islam hanya sekitar 5 tahun kemudian. Saya melihat beliau yang berasal dari Pulau Pinang ini seorang yang rajin solat berjamaah di Masjid Negeri dan menambah dengan solat-solat sunat. Anak-anaknya seramai dua orang dihantar mengaji dengan seorang ustazah di kawasan berdekatan.

Selain kelaziman beliau solat berjamaah, ada dua perkara yang saya suka dengan perangainya yang saya perasan. Kedua-dua ini kepadanya pernah saya sebutkan akan sebuah hadith Nabi SAW yang berkaitan dengan amalannya. Pertama saya perhatikan beliau suka memberi salam dan kedua sangat konsisten memberi sedekah berbentuk sebungkus tapau makanan selepas solat jumaat sejak beberapa tahun kebelakangan. Saya dimaklumkan setiap minggu beliau bersedekah antara 70-80 bungkus tapau. Semoga rezekinya dimurahkan oleh Allah SWT.

3.

Individu ketiga seorang tokoh yang sangat saya hormati. Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok. Beliau antara perintis awal penghafaz al-Quran dari Sabah pada awal 70an di Masjid Negara Kuala Lumpur. Pernah diamanahkan sebagai imam besar Masjid Negeri Sabah pada 90an. Terdahulu saya dimaklumkan zaman mudanya juga pernah terbabit sebagai buruh membina masjid ini dan juga pernah menjadi muazzinnya.

Sejak 30 tahun lalu hingga kini, beliau sangat tekun mengajar al-Quran kepada masyarakat khususnya di Masjid Negeri Sabah. Walau bilik sering bertukar-tukar, beliau tetap bertahan dan istiqamah mengajar al-Quran kepada masyarakat khususnya orang dewasa. Saya perhatikan ilmu tajwid dan tarannum yang beliau terapkan dalam pengajarannya. Semoga Allah SWT memberkati ilmu yang beliau curahkan.