Saya berkeyakinan bahawa Islam tidak menolak muzik dan hiburan secara total. Penerimaan dan penolakannya adalah bersyarat. Ia berkait dengan alat, masa, lirik, senikata, penyanyi atau pemuziknya dan seumpamanya. Islam adalah agama yang sesuai dengan masa dan tempat. Dasarnya bersifat tetap sementara pendekatannya bersifat anjal dan boleh berubah menurut kesesuaian.

Ketika menghadiri majlis perkahwinan Dr Fariz dan Dr Allia sabtu lalu di Ranau, saya melihat persembahan muzik berasaskan buluh oleh satu kumpulan tempatan bernama Kinabalu Merdu Sound atau Borneo Bamboo Music. Saya tidak pula berhajat membuat rekomen atau kesimpulan bahawa keseluruhan persembahannya menepati syariat Islam kerana ada sedikit sebanyak kelemahan, tetapi kreativiti para artis yang terlibat boleh dijadikan permulaan yang baik untuk penggemar-penggemar muzik Islam mengembangkan lagi bakat mereka asalkan menepati syariah. Alat-alat muzik kumpulan mereka ini semuanya berasaskan buluh seperti gitar dan lain-lain. (Lihat foto).

Oleh kerana Allah itu sendiri bersifat indah dan sukakan keindahan, alangkah baiknya jika otai-otai seni muzik, para pensyarah dan pemainnya (yang beragama Islam) dilengkapkan dengan ilmu aqidah, syariah dan akhlak apatah lagi zaman ini adalah zaman serba muzik dan bunyi-bunyian agar segala bentuk hiburan itu adalah indah menurut Islam juga. Terjun ke dunia mencabar itu dan berusaha memperbaikinya adalah lebih baik berbanding kita mendiamkan diri dan membiarkan masyarakat kita rosak dengan dunia mereka.