Notis dua hari, tetapi saya kebetulan berkelapangan apabila diundang oleh Ustaz Mohd Shamsuri Ghazali, Pegawai Dakwah JAKIM Sabah untuk mengganti dan mengisi slot ceramah atas tajuk ‘Amal Jamaie Dalam Dakwah” di Pusat Latihan Islam (PLI) Kundasang bersama hampir 50 orang penggerak dakwah JAKIM Sabah, wakil-wakil pelatih Pusat Latihan Dakwah dan alumni mereka.
Tajuk ini kali pertama saya sampaikan mengambil kira permintaan penganjur, dengan objektif gerak-kerja secara jamaie @ berpasukan @ berorganisasi perlu dimantapkan di segenap pihak khususnya dalam kerja-kerja dakwah di JAKIM dan penggerak dakwah. Perkara yang sangat mudah untuk difahami bahawa kalau kita sendirian, sudah tentu tidak mampu menegur sekumpulan anak muda yang sedang meminum arak, berjudi dan sebagainya.
Justeru dalam perkara yang lebih besar daripada itu sudah tentu keperluan untuk menggerakkan gerak-kerja dakwah secara lebih teratur dan bergorganisasi sangat perlu dan mesti dilakukan. Bahkan suatu ungkapan yang sangat terkenal, ‘kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun’. Saya dalam kesyukuran kepada Allah, turut berterima kasih kepada penganjur untuk berkongsi idea dan pengalaman yang amat sedikit dalam kerja-kerja dakwah.